Warga emas bersama anak, dua cucu terperangkap dalam banjir - Utusan Malaysia

Warga emas bersama anak, dua cucu terperangkap dalam banjir

FARIDAH Wahab membersihkan sebahagian zink dan papan dinding bahagian dapur rumahnya yang runtuh dalam kejadian banjir di Kampung Lentang, Belantik, hari ini. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Seorang warga emas bersama seorang anak perempuan dan dua cucu terselamat selepas bahagian dapur rumahnya runtuh ketika mereka terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Lentang, Belantik di sini semalam.

Kejadian itu berlaku pada pukul 5 petang, ketika rumah mereka dimasuki air kira-kira 0.3 meter manakala air di luar rumah mereka yang melebihi satu meter mengalir dengan deras.

Menurut Faridah Wahab, 59, ketika kejadian, dia bersama anaknya, Siti Khalijah Saud, 25, dan cucunya berusia lima tahun dan setahun berada dalam rumah manakala menantunya, Amirul Azhar Husin, 26, pula keluar bekerja.

“Waktu itu hujan tidak begitu lebat, tetapi, ia lebat di sebelah hulu kampung menyebabkan berlaku banjir selepas air anak sungai berdekatan melimpah dan memasuki ke dalam rumah.

“Kejadian banjir yang berlaku itu seperti bencana kepala air kerana arus terlalu deras sehingga mengangkat sebahagian lantai rumah serta bunyi arus yang kuat dan menakutkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lentang, Belantik di sini hari ini.

Faridah memberitahu, dia segera mendapatkan anak serta dua cucunya yang terperangkap ke bahagian rumah yang lebih kukuh untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya bersama anak dan cucu kemudian berpaut pada alang rumah manakala paras air banjir semakin tinggi memasuki dalam rumah dan selepas itu kami tiba-tiba terdengar dentuman runtuhan di bahagian dapur.

“Kami yang berada di ruang tamu rumah tidak berani bergerak, hanya bertawakal kepada Allah untuk menyelamatkan nyawa kami,” katanya.

Tambahnya, mereka bernasib baik kerana bahagian dapur rumahnya sahaja yang runtuh, manakala bahagian ruang tamu dan bilik masih kukuh walaupun hanya dibina dengan kayu dan papan.

“Anak saya menghubungi pasukan bomba dan penyelamat tetapi mereka tidak dapat masuk ke kampung ini kerana arus terlalu deras dan kira-kira 30 minit kemudian air mulai surut, baharu anggota penyelamat dapat masuk dan menyelamatkan kami,” tambahnya.

Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan dalam kejadian banjir tersebut sebanyak 11 buah rumah penduduk di kampung itu turut terjejas. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN