Tujuh didenda RM3,500 sertai perarakan kematian  - Utusan Malaysia

Tujuh didenda RM3,500 sertai perarakan kematian 

SEBAHAGIAN daripada tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menyertai perarakan kematian sehingga melanggar SOP minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Tujuh lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyertai perarakan kematian sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada minggu lalu. 

Mereka ialah  R. Kumar, 39; G. Rukumaran, 33; M. Kanes Kumaar, 28; A. Elango, 35, A. Veera Putthiran, 19; S. Muniswaran, 30 dan S. Rishantheren, 23.

Pengakuan bersalah  itu dibuat  di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus. 

Bagaimanapun, empat yang lain yang turut berdepan tuduhan sama iaitu D. Stephen Dass, 35; M. Sivasangar, 49; K. Harjun, 18; Mazlan Hassan Sha, 35, dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah. 

Mengikut pertuduhan,mereka didakwa melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan cara menyertai perarakan kematian bagi tujuan keagamaan di dalam kawasan  jangkitan. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan  di Jalan Besar Kerian Kedah, Sungai Jawi dalam daerah Seberang Perai Selatan pada pukul 2 petang, 13 Oktober lalu. 

Pendakwaan ke atas mereka dilakukanmengikut Peraturan 9 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 3) 2021 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) peraturan yang sama. 

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman, manakala tujuh tertuduh yang mengaku bersalah diwakili peguam, Anbananthan Yathiraju dan selebihnya tidak diwakili peguam. 

Norhayati menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap tertuduh yang didapati bersalah dan jika tidak membayar denda itu mereka akan dipenjara dua bulan.

Sementara itu, mereka yang mengaku tidak bersalah dibenar diikat jamin RM4,500 setiap seorang dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 24 November depan. 

Remaja berusia 17 tahun dibenar diikat jamin RM1,500 dengan syarat hanya boleh dijamin oleh ibu atau bapanya. – UTUSAN  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya