Tiga beradik yatim piatu syukur nasib terbela - Utusan Malaysia

Tiga beradik yatim piatu syukur nasib terbela

TUNKU Shahrain Tunku Salehan (kiri) menyampaikan cek wang faedah pengurusan mayat kepada Nur Adriana Aleeya Zulkifli (dua dari kanan) di Kampung Tanjung Bugis, Padang Lalang, Semanggol di Bagan Serai, Perak. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Tiga beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia bulan lalu akibat Covid-19 bersyukur apabila layak menerima bayaran pencen penakat ibu bapa mereka daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Nur Adriana Aleeya Zulkifli, 16; Muhammad Zafrul Aiman, 11, dan Muhammad Umar Mikhail, 7, kematian bapa mereka, Zulkifli Mohd. Yusof, 38, pada 23 September lalu, disusuli ibu mereka, Nor Azira Mohamed , 40, tiga hari kemudian selepas kedua-duanya positif Covid-19.

Nor Adriana Aleeya berkata, selepas kematian ibu dan bapa, dia bimbang memikirkan masa depan merela khususnya dalam pelajaran.

Katanya, tanpa disangka mereka dimaklumkan oleh Perkeso Cawangan Taiping layak menerima bantuan khairat kematian dan pencen penakat ibu dan bapa mereka.

“Kami langsung tidak terfikir menerima pencen bulanan atau pencen penakat daripada Perkeso, kami bersyukur di atas rezeki ini.

“Duit yang kami terima digunakan untuk pelajaran saya dan dua adik saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Tanjung Bugis, Padang Lalang, Semanggol di sini semalam.

Nur Adriana Aleeya yang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik berkata, dua adiknya mungkin berpindah ke Sekolah Kebangsaan Sungai Kepar, dekat Tanjung Bugis, yang terletak berdekatan dengan rumah neneknya, Jormiah Nusi, 65.

Katanya, walau sedih dengan kehilangan ibu bapa, dia bertekad untuk terus belajar di MRSM Gerik.

“Emak dan bapa amat gembira apabila saya dapat masuk ke MRSM. Saya akan terus belajar di situ bagi mengejar cita-cita yang arwah emak dan bapa saya mengharapkan saya menjadi seorang doktor,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perkeso cawangan Taiping, Tunku Shahrain Tunku Salehan berkata, pihaknya dimaklumkan tentang tiga adik beradik itu yang kematian ibu dan bapa akibat Covid-19 melalui penduduk setempat.

Menurutnya, berikutan itu, pihaknya membuat semakan nama ibu bapa kanak-kanak itu dan mendapati mereka layak menerima wang Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan wang pencen penakat ibu bapa mereka.

“Tiga beradik ini menerima pencen penakat sebanyak RM897.62 sebulan sehingga mereka berusia 21 tahun.

“Perkeso juga akan membantu sekiranya mereka meneruskan pelajaran ke peringkat ijazah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.