PETALING JAYA: Perjanjian yang dimeterai pada zaman kolonial perlu diteliti terlebih dahulu sebelum melakukan pindaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, perkara itu juga termasuk perjanjian antara kerajaan Negeri Johor dan British membabitkan pembinaan dan penyelenggaraan rumah api di Pulau Pisang, Pontian, Johor dan perjanjian air melibatkan Malaysia dan Singapura.
Katanya, butiran kandungan perjanjian amat penting sebelum melakukan perubahan terhadap terma syarat walaupun dibuat ketika zaman kolonial.
“Apa-apa pun sebelum kita hendak ubah atau batal perjanjian, kena teliti dahulu butiran perjanjian. Selepas itu, barulah kita kena mula perbincangan antara kedua-dua pihak untuk mencari penyelesaian terbaik.
“Perkara ini amat penting demi menjaga hubungan diplomatik antara negara. Namun sebarang tindakan lanjut sekali pun, kena ikut saluran yang betul,” katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan perjanjian dimeterai antara kerajaan Negeri Johor dan British berhubung kebenaran membina dan menyelenggara rumah api di Pulau Pisang, Pontian Johor boleh diubah kerana negara ini sudah merdeka dan tidak terikat dengan dokumen berkenaan.
Ia susulan laporan akhbar ini menyatakan Malaysia tidak akan hilang kedaulatan terhadap Pulau Pisang di sini tetapi rumah api di kepulauan tersebut akan diuruskan Singapura selagi terbitnya matahari dan bintang
Keadaan itu berdasarkan perjanjian ditandatangani pada tahun 1900 antara Sultan Johor ketika itu, Almarhum Sultan Ibrahim dengan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir James Alexander Swettenham berkaitan Pulau Pisang yang diyakini terus dipatuhi.
Mengikut perjanjian itu, Pulau Pisang adalah hak mutlak kerajaan Negeri Johor dan British ketika itu hanya diberi kebenaran untuk membina, mengendali dan menyelenggara rumah api berdasarkan perjanjian bertulis (indenture) yang ditandatangani pada 6 Oktober 1900 dengan persefahaman itu diteruskan sehingga kini.
Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut berhubung butiran perjanjian berkenaan kerana perkara berkenaan merupakan bidang kuasa Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara.
“Tetapi di bawah pengetahuan saya, sama ada perjanjian Pulau Pisang atau air dengan Singapura, ia termaktub kepada terma-terma yang dimeterai antara kita dengan negara itu pada puluhan tahun lalu.
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah perjanjian tanpa melihat terma dan membuat perbincangan bagi mengorak langkah ini,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Malaysia dikhuatiri hilang kedaulatan ke atas Pulau Pisang jika terus membiarkan negara lain membina dan menguruskan rumah api di kepulauan tersebut, sekali gus bakal mengulangi nasib Pulau Batu Puteh. – UTUSAN










