Tandas awam untuk kucing di Pasir Mas - Utusan Malaysia

Tandas awam untuk kucing di Pasir Mas

TANDAS kucing yang disediakan MDPM di Pasar Tasek Raja, Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Pelik tapi wajar dipuji. Idea luar kotak Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) mewujudkan tandas kucing di Pasar Tasek Raja, di sini, berjaya mendisiplinkan ratusan haiwan itu yang sering berkeliaran di situ.

Kewujudan ‘tandas awam’ menyebabkan kucing-kucing terbabit tidak lagi membuang najis merata-rata sekali gus menyelesaikan isu kebersihan yang sering diadukan orang ramai kepada MDPM.

Malah ketika tinjauan Utusan Malaysia semalam, beberapa ekor kucing dilihat tidak kekok memanfaatkan kemudahan awam yang disediakan untuk ‘melepaskan hajat’ tanpa perlu diajar sesiapa.

Yang Dipertua MDPM, Hazmi Abdul Hamid berkata, sebanyak empat tandas kucing diwujudkan di kawasan tersebut sejak Februari lalu.

Katanya, idea luar kotak itu terhasil menerusi mesyuarat MDPM bersama Jawatankuasa Bandar Tasek Raja dalam usaha mewujudkan persekitaran yang bersih dan ceria memandangkan lokasi tersebut menjadi tumpuan orang ramai.

“Sejak tandas ini diperkenalkan, kita berjaya ‘mendisiplinkan’ kucing-kucing liar di kawasan ini untuk membuang najis di tempat yang disediakan itu. Secara tidak langsung kita mewujudkan persekitaran lebih sihat dan bersih.

“Sebelum ini, haiwan terbabit kerap mengotorkan kawasan pasar sehingga menyusahkan peniaga selain memburukkan imej pasar di mata pengunjung,” katanya ketika ditemui, semalam.

Usaha MPDM itu turut tular dalam laman sosial Facebook dan mendapat pujian golongan pencinta haiwan yang rata-ratanya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) di tempat lain mengikut jejak langkah MDPM.

Mengulas lanjut, Hazmi memberitahu, bagi memastikan pengudaraan dan kebersihan lokasi itu, pihaknya menugaskan kakitangan untuk menyelenggara tandas tersebut, termasuk melupuskan semua sisa buangan kucing setiap hari.

“Selain itu, kerja-kerja menggembur pasir dan rumput dilakukan setiap minggu bagi memastikan tandas kucing berfungsi dengan baik.

“Alhamdulillah, inovasi ini telah membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan para pekerja pembersihan menguruskan keceriaan dilokasi itu dengan sempurna.

“Kami berhrap inovasi ini dapat menjadi contoh kepada pihak-pihak lain untuk mewujudkan tandas itu kepada kucing-kucing terbiar,” ujarnya yang memberitahu dianggarkan terdapat kira-kira 600 ekor kucing terbiar di pasar itu tersebut. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.