IPOH: Polis telah merekodkan keterangan seorang wanita yang dikatakan mendakwa kematian dua pelajar di negeri ini adalah disebabkan suntikan vaksin Covid-19.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya merekodkan keterangan wanita berusia 39 tahun itu ketika suspek hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam.
Katanya, siasatan kes berkenaan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.
“Selain wanita terbabit, kita juga telah merakam percakapan pegawai kesihatan Ulu Kinta, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai dan pegawai perubatan yang merawat dua pelajar terbabit.
“Malah, ibu bapa pelajar tersebut turut dipanggil untuk dirakam keterangan serta saksi lain yang berada bersama wanita itu ketika dia membuat kenyataan dalam video tular berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Pemantauan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua di SMK St. Michael, di sini hari ini.
Menurut Mior Farid, semasa rakaman percakapan diambil, wanita terbabit mengaku ada membuat kenyataan seperti mana yang terkandung dalam video tersebut.
Berikutan itu beliau berkata, pihaknya mungkin akan mencadangkan untuk pertuduhan dijalankan ke atas wanita itu.
“Kenyataan yang diberikan suspek bukan sahaja tidak tepat malah tidak benar sama sekali. Dua pelajar terbabit meninggal dunia bukan disebabkan vaksin kerana mereka sendiri belum menerima suntikan berkenaan.
“Kita akan cadangkan kepada peguam negara atau pengarah pendakwaan negeri untuk tuduh suspek terbabit,” katanya.
Pada 29 September lalu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan setelah menerima dua laporan daripada Pegawai Pendidikan (Kesihatan) Daerah Ipoh dan pengetua SMK Tasek Damai.
Laporan itu berkaitan ketidakpuasan hati terhadap dakwaan kematian dua pelajar sekolah itu yang didakwa disebabkan suntikan vaksin.
Video berdurasi 1 minit 38 saat yang tular sejak Selasa lalu dipercayai dirakam dalam sebuah majlis yang diadakan di Putrajaya sebagai tanda solidariti menuntut hak supaya pelajar tidak diwajibkan mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Menerusi video tersebut, seorang wanita dalam ucapannya kepada sekumpulan individu mendakwa berlaku dua kes kematian pelajar SMK Tasek Damai disebabkan pengambilan suntikan vaksin. – UTUSAN ONLINE










