PETALING JAYA: Kejayaan lagu Sesi Potret mengungguli carta Spotify Indonesia membuktikan karya berteraskan penceritaan dan emosi masih mempunyai tempat tersendiri dalam industri muzik yang semakin kompetitif.
Lebih membanggakan, lagu nyanyian eńau dan Ari Lesmana itu kini mula mendapat perhatian pendengar di luar Indonesia apabila berjaya menembusi carta Spotify Top Songs Malaysia, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk karya tersebut berkembang ke pasaran antarabangsa.
Perkembangan positif itu mendorong FireFly Records untuk memperkenalkan Sesi Potret kepada khalayak yang lebih besar menerusi pelbagai inisiatif promosi termasuk kempen digital, penyenaraian dalam senarai main utama serta kerjasama rentas negara.

Dilancarkan pada 30 Januari 2025, lagu berkenaan menampilkan gabungan lirik yang penuh makna dengan susunan muzik yang sederhana namun dekat dengan jiwa pendengar.
Sesi Potret mengangkat kisah tentang memori, hubungan dan penghargaan terhadap detik-detik kecil yang sering terlepas pandang dalam kehidupan seharian.
Kekuatan naratif yang dibawa menerusi lagu tersebut menjadikannya mudah diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang budaya atau generasi.
Kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan eńau sebagai antara penulis lagu yang semakin mendapat perhatian di rantau ini, manakala kolaborasinya bersama Ari Lesmana dilihat berjaya menghasilkan sebuah karya yang mampu menembusi sempadan negara.
Dengan momentum yang semakin meningkat di platform digital, Sesi Potret dilihat berpotensi menjadi antara karya Indonesia yang mampu mencipta pengaruh lebih besar di peringkat serantau dalam tempoh terdekat.










