KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menggerakkan pasukan perlindungan serta kaunseling bagi membantu remaja perempuan berusia 13 tahun yang dipercayai menjadi mangsa rogol datuknya sendiri dalam kejadian di Batu Pahat, Johor.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian akan cuba membantu dengan mengambil langkah susulan bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan mangsa terpelihara.
“Kes ini sudah menjadi kes jenayah dan kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, selain laporan polis, pegawai pelindung di bawah kementerian juga akan mendapatkan laporan berkaitan kes tersebut dan menjalankan penilaian yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Pejabat TAGS dan Sistem e-TAGS di Dewan Srivijaya, Menara Aras Raya, Kuala Lumpur.
Nancy berkata, bantuan psikososial dan kaunseling akan ditawarkan kepada keluarga mangsa sekiranya mereka bersetuju menerima sokongan daripada pihak kementerian.
“Kita turut mempunyai pasukan kaunseling yang akan berhubung dengan keluarga mangsa bagi menawarkan bantuan sokongan psikososial dan kaunseling.
“Sama ada mereka mahu menerima bantuan itu atau sebaliknya, ia terpulang kepada keluarga dan kita menghormati privasi mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek perlindungan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan kementerian terutama dalam kes melibatkan penderaan seksual dan eksploitasi.
“Apabila melibatkan kanak-kanak, kita perlu mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyediakan laporan yang diperlukan kerana mahkamah juga akan merujuk kepada pihak kementerian dalam perkara berkaitan kebajikan dan perlindungan kanak-kanak.
“Justeru, pegawai pelindung akan menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak terbabit sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN










