Lelaki OKU lembam hilang selepas keluar rumah - Utusan Malaysia

Lelaki OKU lembam hilang selepas keluar rumah

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat lelaki OKU yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang selepas dipercayai masuk ke kawasan ladang kelapa sawit di belakang rumahnya di Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kehilangan lelaki berusia 26 tahun itu diterima daripada pihak polis pada pukul 2.38 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Abang mangsa membuat laporan polis selepas menyedari adiknya tiada di rumah dengan pintu belakang kediaman mereka terbuka.

“Mangsa yang mengalami masalah pembelajaran dan menghidap penyakit asma itu dipercayai keluar dari rumah melalui pintu belakang sebelum masuk ke kawasan ladang kelapa sawit,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, anggota bomba bersama pihak polis termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) telah menjalankan operasi SAR dengan operasi pencarian dipecahkan kepada enam kumpulan.

Katanya, jarak pencarian dijalankan kira-kira 700 meter bermula dari rumah mangsa menuju ke kawasan ladang sawit dan kawasan berpaya.

“Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemui sehingga kini. Operasi ditangguhkan pada pukul 6 petang atas faktor keselamatan selepas perbincangan bersama pihak polis.

“Operasi akan disambung semula pada pukul 8 pagi esok, membabitkan tiga sektor pencarian iaitu kawasan paya, lombong dan tali air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×