‘Seni manusia tak boleh ditiru mesin’ - Sheila Majid, M. Nasir bangkit pertahan hak cipta - Utusan Malaysia

‘Seni manusia tak boleh ditiru mesin’ – Sheila Majid, M. Nasir bangkit pertahan hak cipta

M. Nasir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gabungan industri muzik tempatan menerusi Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) menggesa penggubal undang-undang negara memperkukuh Akta Hak Cipta Malaysia bagi menyekat eksploitasi karya kreatif oleh pembangun model Kecerdasan Buatan (AI) tanpa kebenaran.

Desakan itu dikemukakan menerusi satu surat terbuka bersama yang dihantar kepada Perdana Menteri dan beberapa kementerian serta agensi utama bagi menyuarakan kebimbangan mengenai trajektori tadbir urus AI semasa.

Menurut MMRA, industri muzik tempatan merupakan antara tonggak utama ekonomi negara yang mana kajian firma Price Waterhouse Coopers mendedahkan sektor ini menjana output ekonomi tahunan sebanyak RM19.4 bilion dan menyokong lebih 111,000 peluang pekerjaan.

Perikatan itu menegaskan, sebarang penggunaan bahan berhak cipta untuk melatih atau membangunkan sistem AI wajib mendapatkan kebenaran bertulis dan persetujuan jelas daripada pencipta asal terlebih dahulu.

“MMRA membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan pengecualian Perlombongan Teks dan Data (TDM) dalam Akta Hak Cipta 1987 yang membenarkan mesin melombong karya kreatif tanpa izin atau pampasan adil kepada penggiat seni.

“Pembangun AI juga perlu diwajibkan menyimpan rekod data latihan yang telus, selain melaksanakan pelabelan mandatori serta piawaian penanda air (watermarking) bagi mengelakkan kekeliruan dengan karya asli manusia serta membendung ancaman deepfake,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi MACP, Dato’ Haji M. Nasir menyifatkan hak cipta adalah hak murni yang lahir daripada emosi, budaya dan identiti minda manusia yang tidak sesekali boleh diterjemah secara tulen oleh kod mesin.

Nada sama turut dizahirkan oleh Pengerusi RPM, Dato’ Hajah Sheila Majid yang menentang sekeras-kerasnya sebarang budaya plagiarisme yang dinormalisasikan oleh peranti teknologi.

“Setiap penghibur membawa identiti dan kekuatan vokal yang unik. Walaupun AI boleh berfungsi sebagai alat sokongan, ia sama sekali tidak boleh digunakan untuk menyalin atau meniru kesenian tulen manusia,” jelasnya.

MMRA merupakan gabungan entiti muzik terbesar negara yang mewakili kepentingan kolektif penggiat seni merangkumi RIM, MPA, MACP, PPM dan RPM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN