GEORGETOWN: Status Pulau Andaman kekal di bawah seliaan Eastern & Oriental Berhad (E&O) memandangkan pembangunan projek berkenaan masih berjalan dan belum mencapai peringkat penyerahan kepada kerajaan.
Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, proses pembangunan yang sedang berjalan memerlukan pemantauan serta penyelarasan berterusan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Katanya, walaupun pulau itu kini digunakan dan mula dilawati oleh orang ramai, statusnya secara teknikal masih berada di bawah zon pembangunan dan perundingan yang memerlukan pengawasan sehingga standard yang ditetapkan dapat dipenuhi sepenuhnya.
“Pihak pengurusan mahu memastikan segala kemudahan dan infrastruktur yang dibangunkan memberi manfaat kepada masyarakat serta menyokong aktiviti ekonomi setempat.
“Ramai orang kini menikmati kemudahan yang tersedia. Kami melihat perkembangan ini sebagai petanda positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan komuniti,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran AVÉA Tower B di Pulau Andaman, di sini hari ini.
Tambah beliau, keputusan untuk tidak menyerahkan semula kawasan tersebut kepada kerajaan buat masa ini dibuat bagi memastikan semua aspek pembangunan, tadbir urus dan standard operasi dapat dimatangkan terlebih dahulu.
Ujarnya, sebaik sahaja tahap kematangan pembangunan dan piawaian yang ditetapkan berjaya dicapai, status pengurusan kawasan berkenaan akan dinilai semula mengikut peruntukan undang-undang dan dasar yang berkaitan.
“Tanggungjawab terhadap kawasan tersebut masih berada di bawah pengurusan pemaju sehingga semua komponen pembangunan dan keperluan berkaitan disempurnakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau menjawab status semasa Pulau Andaman susulan timbulnya pertanyaan mengenai pemilikan dan pengurusan kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut, Tuck Cheong berkata, sebarang proses penyerahan kepada kerajaan hanya akan dilaksanakan setelah syarat serta prosedur yang ditetapkan dipenuhi.
Pulau Andaman merupakan antara projek pembangunan utama yang sedang dibangunkan oleh E&O dan dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor hartanah serta aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
Pulau Andaman ialah projek perbandaran tebus guna tanah seluas 30.7 hektar di perairan timur laut Pulau Pinang.
Projek itu merupakan projek pembangunan swasta terbesar di Malaysia dengan nilai pembangunan kasar mencecah RM70 bilion. – UTUSAN










