PETALING JAYA: Ayat ‘kita cuba dulu dan anggap sebagai track day’ akhirnya berjaya memecah ‘rajuk’ bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi untuk keluar daripada persaraan.
Prinsipal TKKR Racing Team, Datuk Bobie Farid Shamsuddin berkata, pada awalnya mereka agak segan untuk menawarkan tempat kepada Khairul atau KIP bagi bersaing di Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 di Sepang, hujung minggu ini.
Ini kerana katanya, TKKR Racing pasukan persendirian dan memiliki banyak kekurangan berbanding pasukan kilang di sekitar Asia.
“Saya suruh staf saya untuk hubungi KIP. Ayah dia pun menyatakan hasrat agar KIP berlumba bersama kami di MSBK.
“KIP mengambil masa dua hari untuk memberi jawapan setuju. Saya cuma pesan kepada KIP supaya anggap sahaja perlumbaan ini sebagai track day dan tiada tekanan diberikan.
“Ini kerana saya faham, KIP sudah dah lama tak menunggang dan perlu mengambil masa bagi mendapat keyakinan diri kembali.
“Namun disebabkan KIP lahir dari industri tempatan dan antara pelumba yang mempunyai disiplin dan motivasi tinggi, saya amat yakin dia akan kembali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

KIP kelmarin mengesahkan, dia akan kembali ke litar dalam saingan MSBK musim ini selepas hampir setahun berehat dan ‘bermain’ dengan sawit.
Dalam masa sama, Bobie tidak menolak untuk membawa pelumba berusia 23 tahun itu ke peringkat lebih tinggi seperti Kejuaraan Motosikal Dunia jika diberikan rezeki.
“Buat masa ini memang kami bercadang untuk membawa KIP ke ARRC (Kejuaraan Motosikal Asia) tahun depan dan jika ada rezeki mungkin lebih jauh jika diizinkan.
“Matlamat sebenarnya tiada yang spesifik kerana sudah tentu Kejuaraan dunia menjadi impian kami,” katanya.
Mengulas berhubung KIP kini sudah kekok untuk berlumba, beliau berkata, TKKR Racing akan menyediakan motosikal terbaik untuk pelumba kelahiran Perak itu di samping persekitaran positif dalam usaha mencari keserasian bersama jentera.










