PARIT BUNTAR: Bekas wartawan sambilan Utusan Malaysia, Abdul Malek Asli, 66, meninggal dunia di Hospital Parit Buntar hari ini.
Anak Allahyarham, Khairun Nisa Abdul Malek, 28, berkata, bapanya meninggal dunia pada pukul 6.30 pagi akibat renjatan septik yang mengakibatkan kegagalan pelbagai organ.
Menurutnya, bapanya menghidap penyakit jantung sejak tiga tahun lalu dan kesihatannya bertambah kritikal apabila turut mengalami kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman.
“Keadaan kesihatan ayah semakin merosot sehingga memerlukan pemantauan rapi ahli keluarga. Saya adalah orang yang terakhir menjaganya subuh tadi sebelum bapa menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Tanjung Piandang di sini hari ini.
Menurutnya, bapanya bertugas sebagai wartawan sambilan untuk akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! pada tahun 2004 hingga tahun 2020 di kawasan Perak utara.
Katanya, keluarga menerima pemergian Allahyarham dengan reda dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu serta mendoakan kesejahteraan arwah sehingga ke akhir hayatnya.
“Kami sekeluarga reda atas pemergiannya dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang mendoakannya serta membantu menguruskan jenazah sehingga selesai,” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lapan orang anak.
Jenazah disolatkan di Surau Al-Moqni, Tanjung Piandang selepas solat Zuhur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 5, Jalan Baharu, Kuala Kurau hari ini. – UTUSAN










