WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mungkin mengadakan lawatan ke Rumah Putih seawal minggu depan, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kepada Axios pada Sabtu.
Trump turut mendakwa Netanyahu tahu siapa yang lebih berkuasa dalam hubungan mereka.
Kemungkinan pertemuan itu berlaku di tengah-tengah laporan mengenai ketegangan antara kedua-dua pemimpin berhubung usaha menamatkan perang terhadap Iran yang dimulakan AS dan Israel pada penghujung Februari.
“Kami mempunyai hubungan yang sangat baik. Netanyahu tahu siapa bos,” kata Trump dalam temu bual telefon ringkas dengan Axios, merujuk kepada dirinya sendiri.
Seorang pegawai Israel memberitahu media AS itu bahawa lawatan minggu depan mungkin terlalu awal kerana Trump dijadual berkunjung ke Turkiye bagi menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 7 hingga 8 Julai.
“Ia mungkin diadakan pada minggu berikutnya,” kata pegawai itu kepada Axios.
Pejabat Netanyahu memaklumkan kedua-dua pemimpin itu berbincang melalui telefon pada Jumaat dan bersetuju untuk bertemu dalam masa terdekat di AS.
Washington merupakan sekutu paling rapat Israel, namun Trump sejak beberapa minggu kebelakangan ini secara terbuka mengkritik Netanyahu selepas perang Israel dengan Hizbullah di Lubnan mengancam usaha rundingan damai dengan Iran.
Kedua-dua pemimpin itu kali terakhir bertemu di Washington pada 11 Februari lalu.
Lawatan itu diumumkan ketika hubungan kedua-dua pemimpin dilaporkan semakin renggang, malah sumber yang rapat dengan Trump memaklumkan ramai penasihat kanan Presiden AS itu semakin hilang keyakinan terhadap Netanyahu.
Tarikh lawatan itu juga dilihat signifikan ketika Netanyahu sedang bersiap menghadapi musim kempen menjelang pilihan raya Israel pada Oktober, dengan beliau kini ketinggalan dalam tinjauan pendapat.
Sambutan berprofil tinggi di Rumah Putih dijangka menjadi simbol sokongan AS kepada Netanyahu ketika kedudukan politiknya di dalam negara berdepan tekanan dan hubungannya dengan pentadbiran Washington semakin rumit.










