Penunggang motosikal maut langgar lelaki mabuk - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal maut langgar lelaki mabuk

KEADAAN mayat penunggang motosikal dalam nahas di Kilometer 375.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Tanjung Malim, Perak, hari ini.  - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya melanggar seorang pejalan kaki disyaki mabuk di Kilometer 375.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.15 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Keeway itu dalam perjalanan dari Teluk Intan.

Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal di lorong kecemasan melanggar seorang pejalan kaki yang disyaki mabuk.

“Kemalangan itu menyebabkan motosikalnya terbabas dengan mangsa terjatuh di lorong kecemasan. Mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Slim River. 

“Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat selain pejalan kaki yang turut cedera. Identiti pejalan kaki yang berusia lingkungan 50-an  belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5000 dan tidak lebih RM20,000. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN