PUTRAJAYA: Perbelanjaan pelancongan domestik merudum kepada RM40.4 billion pada tahun lalu berbanding RM103.2 bilion pada 2019 ekoran sekatan pergerakan lebih 18 bulan lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, namun, kebenaran rentas negeri sejak Isnin lalu merancakkan kembali industri pelancongan selepas terjejas terutama bagi tiga bulan terakhir tahun ini.
Katanya, nilai pendapatan daripada pelancongan domestik bagi tempoh suku keempat tahun ini menyaksikan pertumbuhan lebih baik berbanding suku pertama hingga ketiga 2021.
“Dari segi kemasukan pelancongan kita menjangka tiada perubahan trend melainkan sekiranya terdapat pengumuman baharu berkaitan pembukaan pintu sempadan,” katanya di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan kebenaran untuk individu yang sudah pun lengkap dua dos vaksin, dapat merentas negeri termasuk perjalanan ke luar negara setelah lebih 18 bulan semua pintu sempadan negara ditutup akhir Mac tahun lepas.
Kelonggaran itu sekali gus memberi kelegaan besar kepada banyak penggiat industri yang terkesan ekoran sekatan pergerekan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
Nancy berkata, penularan wabak Covid-19 yang semakin meruncing menyebabkan Malaysia mengambil keputusan untuk menutup pintu sempadan sejak 18 Mac lalu.
Kata beliau, ia berlanjutan hingga kini seterusnya memberikan impak terhadap kemerosotan ketibaan pelancong asing.
Beliau memberitahu, bagi separuh tahun pertama 2021, ketibaan pelancong asing ke Malaysia direkodkan menurun sebanyak 98.8 peratus iaitu kepada 50,613 orang pelancong asing berbanding tempoh sama tahun 2020.
Beliau berkata, dalam tempoh suku terakhir tahun ini, dijangka perjalanan domestik akan dibuat dengan tujuan utama untuk melawat saudara-mara dan rakan (Visit Family & Friends) dan bercuti atau berehat di samping tujuan-tujuan lain.
“Berdasarkan Laporan Domestik 2019 dan 2020, lebih 60 peratus perjalanan pelancong domestik adalah melibatkan perjalanan dalam negeri ataupun rentas negeri.
“Sehubungan itu, perjalanan suku tahun terakhir 2021 dilihat akan meningkat drastik berbanding suku tahun sebelumnya,” katanya.
Nancy bagaimanapun optimis tiada perubahan signifikan dari segi trend ketibaan pelancong asing ke Malaysia sekiranya tiada pengumuman baharu berkaitan pembukaan pintu sempadan. – UTUSAN










