PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa.
Menurut beliau, usaha itu bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh.
“Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
“Pada masa sama, Jemaah Menteri juga membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah Tort of Misfeasance ke atas pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, mesyuarat Jemaah Menteri yang memutuskan perkara itu semalam, turut bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas di dalam bukunya My Story: Justice in the Wilderness.
Beliau berkata, pasukan petugas itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) pula bertindak sebagai urus setia.
“Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan, dua jawatankuasa itu diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan. – UTUSAN










