Lima kakitangan rumah mayat direman - Utusan Malaysia

Lima kakitangan rumah mayat direman

LIMA kakitangan awam Gred 19 dan 29 yang bertugas di Jabatan Forensik sebuah hospital di Lembah Klang tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pagi tadi bagi mendengar permohonan reman dibuat ke atas mereka oleh SPRM berhubung rasuah berjumlah RM22,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lima kakitangan Jabatan Forensik sebuah hospital di Lembah Klang ditahan reman selama lima hari selepas disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah.

 

Majistret Ellyna Othman membenarkan permohonan reman oleh suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tiga kakitangan Gred 19 berusia 41 (dua orang) dan 44 tahun serta dua Gred 29 yang kedua-duanya berusia 34 tahun melibatkan nilai suapan keseluruhan RM22,000.

 

Kesemua kakitangan awam itu dilapor sudah berkhidmat lebih 10 tahun termasuk di hospital terbabit dan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

 

Berdasarkan siasatan awal SPRM, kegiatan tersebut dilakukan sejak Ogos 2019 hingga Ogos 2021 termasuk pengurusan jenazah Covid-19 melibatkan lebih 100 waris dari Kelantan, Johor dan Lembah Klang.

 

Sebelum ini, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan kelima-lima suspek di Pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

 

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan kewujudan kegiatan kartel ‘ulat’ jenazah yang memperdaya waris untuk menguruskan jenazah Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Shah Alam di sini dengan mengenakan caj sehingga RM2,000.

 

Bagaimanapun, perkara berkenaan mendapat perhatian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan menafikan pihaknya mengenakan caj untuk pengurusan jenazah Covid-19 sebaliknya menyatakan bayaran perlu dijelaskan waris adalah melibatkan kos tanah perkuburan ditetapkan oleh kariah berkaitan antara RM150 hingga RM500.

 

Susulan itu juga, Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu memberitahu JAIS akan menyiasat dakwaan pihak yang mengenakan caj pengurusan jenazah Covid-19 di hospital seluruh Selangor. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN