Lelaki maut bergelut dipercayai murung - Utusan Malaysia

Lelaki maut bergelut dipercayai murung

CERMIN kereta retak ketika pergelutan melibatkan dua individu dengan salah seorang terkorban dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Batu Pahat, Kampung Guar Sabun, Kangar, Perlis malam tadi.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Lelaki yang maut dalam pergelutan selepas menyerang seorang individu di sebuah rumah di Jalan Batu Pahat, Kampung Guar Sabun di sini semalam, dipercayai mengalami kemurungan dan sentiasa berseorangan. 

 

Adik kepada penghuni rumah yang diserang itu, Zulhairy Nawi, 41, berkata, perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh keluarga mangsa apabila mengetahui mengenai kejadian tersebut.

 

Katanya, apabila mengetahui mengenai kejadian itu, dia bergegas ke lokasi kira-kira pukul 9.15 malam dan mendapati mangsa masih lagi bernyawa. 

 

“Masa itu, saya tengok abang cedera agak teruk di kepala tetapi dia menguatkan diri demi anak-anak dan isteri yang juga berada di rumah. Malah, anak abang yang berusia tiga tahun trauma dengan kejadian terbabit dan tidak dapat tidur malam tadi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

 

Terdahulu, gara-gara pertengkaran dikatakan membabitkan wang sewa rumah, seorang lelaki maut dengan kesan luka di dahi akibat pergelutan menggunakan parang dengan seorang individu yang menghuni kediaman berkenaan di Jalan Batu Pahat, Kampung Guar Sabun di sini, semalam.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa, Kamarul Izahar Mat Nanyan, 49, yang berasal dari Kampung Abi Batas Paip Abi itu telah datang ke rumah berkenaan untuk meminta wang sewa rumah.

 

Sementara itu, Zulhairy memberitahu, rumah tersebut tiada kaitan dengan mangsa dan selama abangnya tinggal di situ, lelaki itu tidak pernah datang meminta wang sewa. 

 

“Sewa rumah ini sebanyak RM150 dan dibayar kepada individu yang merupakan pemilik sebenar. Rumah ini memang tidak ada kaitan pun dengan Am (Kamarul Izahar),” ujarnya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN