KUALA NERUS: Kegembiraan sekumpulan kaki pancing melakukan aktiviti mencandat sotong bertukar tragedi apabila bot yang mereka naiki karam kira-kira sembilan batu nautika dari Kuala Nerus, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera sementara mangsa lain dapat diselamatkan. Mangsa yang maut ialah Ahmad Nasaruddin Mohmad Jalil, 37.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 9.02 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.
Beliau berkata, bot berkenaan membawa 12 individu terdiri daripada pelanggan yang menyertai aktiviti mencandat sotong bersama seorang tekong sebelum dilaporkan karam di tengah laut.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi mengalami kecederaan iaitu Faris Ibrahim, Ahmad Danial Iman dan Fatin Fariesya Rohaizan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) untuk tindakan lanjut manakala tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azli berkata, pasukan penyelamat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) digerakkan ke lokasi sejurus selepas menerima laporan.
“Polis Marin mengesahkan lokasi kejadian berada di kawasan perairan daerah Gong Badak. Punca bot karam masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN










