PETALING JAYA: Malaysia mengorak langkah strategik untuk membangunkan keupayaan tempatan dalam teknologi roket dan misil menerusi kerjasama antara Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dengan syarikat aeroangkasa serta teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International Pty. Ltd. (RTI).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu menjadi satu perkembangan penting dalam usaha memperkukuh industri pertahanan negara selain mempercepat pemindahan teknologi tinggi kepada Malaysia.
Menurutnya, kerajaan menyambut baik pelaburan strategik tersebut kerana ia selaras dengan usaha membangunkan keupayaan tempatan dalam pembangunan serta pengeluaran roket dan misil.
“Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan aspek pengeluaran, malah turut merangkumi pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan serta kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi.
“Ia juga akan membuka ruang kepada industri tempatan menyertai rantaian pembekalan global RTI,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Australia, Khamis lalu.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dan RTI yang berlangsung di National Convention Centre, Canberra.
Perjanjian itu dimeterai oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim bersama Pengasas RTI, Allan James Payne.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama itu turut melibatkan pembinaan kemudahan pengeluaran di Malaysia yang dijangka memulakan pengeluaran roket dalam tempoh dua tahun sebelum diperluaskan kepada pengeluaran misil pada masa hadapan.
Katanya, pelaburan tersebut akan mengukuhkan ekosistem industri pertahanan negara selain meletakkan Malaysia sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global dalam sektor pertahanan berteknologi tinggi.
“Inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) untuk memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan serta menyumbang kepada pembinaan keupayaan pertahanan negara yang berdaulat,” katanya.
Mengulas berkenaan majlis kerjasama tersebut, Mohamed Khaled merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Australia atas sokongan terhadap kerjasama serta pemindahan teknologi antara RTI dan Weststar yang disifatkan sebagai pelaburan strategik untuk memperkukuh keupayaan pertahanan negara bagi jangka panjang.
Dalam lawatan rasmi itu, beliau bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Paduka Sharrina Abdullah turut mengadakan kunjungan ke Bangunan Parlimen Australia yang disambut oleh Speaker Dewan Perwakilan Australia, Milton Dick.
“Pertemuan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Australia untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin,” katanya.
Beliau juga sempat melawat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles dan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Australia.
Dalam pada itu, beliau turut melawat Institute for Space, Defence and Advanced Technologies (ISDAT) di University of Southern Queensland (USQ) bagi meninjau kemudahan di makmal Advanced Composite Manufacturing dan makmal Hypersonic yang dibangunkan melalui kerjasama dengan beberapa syarikat industri pertahanan, termasuk RTI.
“Lawatan ini memberi gambaran bagaimana industri memanfaatkan kepakaran institusi akademik untuk membangunkan teknologi dan produk pertahanan mereka.
“Pendekatan seperti ini amat penting dalam memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan negara, sejajar dengan aspirasi DIPN,” katanya. – UTUSAN










