Jangan ke Jepun sekadar kutip ranking - Iskandar

Jangan ke Jepun sekadar kutip ranking – Iskandar

K. Letshanaa. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengubah sepenuhnya sasaran buat K. Letshanaa dan Wong Ling Ching apabila enggan melihat dua pemain itu sekadar hadir mengutip mata ranking pada Terbuka Jepun 14 hingga 19 Julai ini.

Selepas berjaya menghampiri sasaran kelompok 32 terbaik dunia dengan Letshanaa kini berada di ranking ke-28 manakala Ling Ching di tangga ke-36, Iskandar mahu anak-anak buahnya mula berani mencabar pemain elit dunia pada kejohanan Super 750 itu.

“Sudah tentu kami mahukan kejohanan besar seperti ini dan walaupun ini kali pertama mereka beraksi di Terbuka Jepun, saya mahu mereka mengubah cara berfikir kerana kami tidak lagi pergi semata-mata untuk memburu mata ranking.

“Sekarang kami mahu mereka mencabar pemain-pemain terbaik dunia di Terbuka Jepun dan juga Terbuka China,” kata Iskandar kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Terbuka Jepun bakal menjadi penampilan kedua Ling Ching dalam saingan Super 750 selepas terkandas seawal pusingan pertama pada penampilan sulung di Terbuka Singapura Mei lalu apabila kecundang di tangan wakil Jepun, Riko Gunji.

Menurut Iskandar, aspek karakter serta keyakinan ketika berdepan pemain kelompok 20 dan 10 terbaik dunia kini menjadi keutamaan berbanding sekadar mengejar keputusan jangka pendek.

“Bagi saya, apa yang paling penting ialah karakter kerana perseorangan wanita negara perlu lebih berani dan yakin untuk mencabar pemain-pemain luar memandangkan sebelum ini mereka sudah membuktikan apabila bermain dengan penuh keyakinan, prestasi mereka juga menjadi lebih baik.

“Kami juga mahu mereka lebih konsisten dengan pelan permainan ketika menentang pemain kelompok atasan kerana proses ini mengambil masa dan bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata,” jelasnya.

Iskandar berkata, tempoh rehat panjang sebelum siri kejohanan di Jepun dimanfaatkan untuk membentuk semula mentaliti pemain selepas misi memburu kelompok 32 terbaik dunia berjaya dicapai.

Beliau turut menjelaskan prestasi pada Terbuka Jepun dan Terbuka China nanti akan dijadikan kayu pengukur utama sebelum melakukan penilaian menyeluruh sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di New Delhi pada Ogos serta Sukan Asia pada September, dengan Letshanaa dan Ling Ching kekal menjadi sandaran utama negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN