Bajet 2022 dijangka peruntuk RM400b - Utusan Malaysia

Bajet 2022 dijangka peruntuk RM400b

PAKAR ekonomi berpendapat aspek sokongan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk petani perlu dalam Bajet 2022. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan di­jangka menyediakan belanjawan besar mencecah RM400 bilion dalam Bajet 2022 untuk membawa Malaysia keluar dari kegawatan ekonomi akibat Co­vid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Dr. Barjoyai Bardai berkata, jumlah peruntukan itu diramal menjadi bajet terbesar dalam sejarah negara berbanding RM322.5 bilion yang disediakan untuk sepanjang tahun ini.

Katanya, jumlah itu juga bakal menyaksikan defisit tu­juh peratus, namun kadar ter­sebut tidak membimbangkan kerana berada pada paras terkawal.

Katanya, Bajet 2022 bakal menjadi belanjawan inklusif yang bukan sahaja melibatkan golongan B40 dan M40, malah juga melibatkan para peniaga kecil dan sederhana.

“Meskipun peruntukan perlu secara menyeluruh, te­tapi kerajaan wajar memfokuskan kepada rakyat pa­ling terkesan iaitu golongan makan gaji dan peniaga kecil. Dua-dua kumpulan perlu diberikan tumpuan menerusi bantuan tunai dan bukan tunai.

“Jika soal kesejahteraan mereka terjamin, secara tidak langsung dapat memperkukuhkan aspek pertumbuhan negara kerana wujud permintaan jual beli antara mereka,” kata di sini semalam.

Sementara itu, pakar eko­nomi, Profesor Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, pemulihan dan transformasi perlu menjadi fokus Bajet 2022 agar usaha pemulihan ekonomi ne­gara dan kesan Covid-19 berada pada landasan betul.

Beliau berkata, dua perkara penting itu bukan soal bantuan tunai semata-mata, tetapi memerlukan aspek sokongan antaranya latihan untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan.

Katanya, tanpa kedua-dua as­pek itu, usaha pemulihan negara tidak akan berganjak.

Noor Azlan menambah, skop Bajet 2022 perlu diperluaskan kepada aspek soko­ngan termasuk program latihan untuk membantu mereka meningkatkan kehidupan.

“Sejak dahulu sehingga kini, setiap kali bantuan diumumkan dalam bajet, kita tidak pernah mengambil kira bagaimana untuk membawa keluar daripada kelompok kemiskinan. Tidak dinafikan kerajaan perlu bantu rakyat, tetapi tidak boleh berterusan memberikan bantuan tunai kerana boleh membebankan dana awam.

“Sebaliknya ukuran keja­ya­an sesuatu bantuan itu adalah sejauh mana membantu mereka keluar daripada masalah. Itu­lah ukuran perlu diambil kira kerajaan dan masyarakat hari ini. Kita tidak boleh berbangga terhadap pencapaian jumlah kita memberikan bantuan, tetapi sewajarnya perlu dilihat kejayaan bagaimana mereka berjaya keluar daripada krisis kewangan,” katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka membentangkan Bajet 2022 esok yang akan memberi tumpuan usaha menangani segera semua isu fiskal di samping berfokuskan kepada 3M iaitu memulih kehidupan, membina semula daya tahan dan memangkin pembaharuan.

Dalam pada itu, Noor Azlan menambah, walaupun Bajet 2022 perlu dilakukan secara inklusif dan menyeluruh, kerajaan wajar mengambil kira agihan secara sasaran mikro kerana rakyat terkesan mempunyai latar belakang berbeza.

Jelas beliau, justeru kerajaan perlu data raya yang mempunyai maklumat terperinci setiap lapisan masyarakat agar bantuan disampaikan dapat diagihkan secara bersasar.

“Misalnya golongan B40 di dalam dan luar bandar, mereka dalam kumpulan sama tetapi masalah dihadapi berbeza. Contohnya, isi rumah di Kuala Lumpur tidak sama se­perti di Parit Buntar.

“Saya berpandangan perlu melihat kawasan, demografi dan konsep kos sara hidup. Semestinya pendapatan isi rumah di sesetengah kawasan, berbanding di tengah-tengah bandar adalah berbeza. Jadi kita memerlukan ukuran kuasa pembelian merentasi pelbagai kawasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×