Juruteknik elektrik mengaku tidak bersalah terima rasuah RM35,000 - Utusan Malaysia

Juruteknik elektrik mengaku tidak bersalah terima rasuah RM35,000

CHE Adam Che Hussin hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam bagi mendengar pertuduhan rasuah melibatkan RM35,000 hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang juruteknik elektrik sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM35,000, lima tahun lalu.

Tertuduh, Che Adam Che Hussin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh 

Berdasarkan pertuduhan, Che Adam didakwa memperoleh RM35,000 daripada seorang wanita sebagai suatu dorongan untuk menarik balik laporan polis berkaitan kes samun dan tidak meneruskan pertuduhan berkaitan kes samun terhadap wanita itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Al Muizz, Taman Ukay Bistari, Jalan Ukay Bistari, Hulu Klang pada pukul 12 tengah hari, 5 September 2016.

Dia didakwa telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta yang sama. 

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zaki Mohd. Salleh mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya sekali sebulan.

Tertuduh memohon jaminan lebih rendah memandangkan dia hanya mempunyai pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM3,500 sebulan.

Mahkamah menetapkan RM10,000 dengan seorang penjamin selain membenarkan permohonan pihak pendakwaan iaitu pasport antarabangsa diserahkan ke mahkamah.

Tertuduh juga diarah melapor diri pada setiap awal bulan di pejabat SPRM Selangor.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 15 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya