PH tiada modal untuk 'dijual' kepada rakyat - Onn Hafiz - Utusan Malaysia

PH tiada modal untuk ‘dijual’ kepada rakyat – Onn Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti menggunakan strategi menyemai kebencian rakyat khususnya ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan dijalankan tidak lama lagi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebaliknya berkata, gabungan itu masih gagal menawarkan sebarang dasar atau polisi yang akan dilaksana sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Johor mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada yang telah mempunyai rangka kerja lengkap bagi mencapai sasaran menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030.

“Kita perlu sebarkan fakta kebenaran, tidak seperti PH yang terus bermain emosi dan sentimen dengan menyebarkan kebencian sehingga ada calonnya menipu secara terang-terangan mengatakan tidak menerima peruntukan.

“Ini era digital, sebarang percakapan ada rakaman dan akan ditonton ramai pihak. Akhirnya mereka perlu meminta maaf, itupun setelah penipuan tersebut dibongkarkan, jika tidak penipuan itu akan berterusan,” katanya ketika sesi temuramah bersama media Johor di kediaman rasminya, di sini semalam.

Tambah Menteri Besar Johor itu, sehingga kini PH masih gagal membentangkan rancangan mereka untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat berbilang kaum di Johor, termasuk menamakan calon Menteri Besar mereka.

“Ramai pihak sebelah sana khususnya PH tiada modal untuk dijual kepada rakyat, mereka tidak bentangkan pelan atau calon pemimpin mereka. Rakyat Johor berhak tahu perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Ini sebaliknya pemimpin PH masih terus memainkan isu-isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lain-lain, itu sahaja strategi mereka,” katanya.

Onn Hafiz turut memberitahu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail telah bertitah agar semua pihak menjaga adab serta tertib sepanjang kempen PRN Johor ini.

Menurut beliau, pesanan itu disampaikan ketika beliau menghadap kedua-dua baginda yang mahu pemimpin politik bersikap lebih matang dan mengekalkan rasa hormat antara satu sama lain walaupun berlainan pendapat.

“Baginda ingatkan saya bahawa Johor mesti jadi Johor, maknanya adab dan tertib ketika berkempen mestilah melambangkan cara hidup masyarakat negeri ini iaitu bersederhana dan tidak melampau batas.

“Amalan itu bukan baharu, Tuanku pernah bertitah bahawa Sidang DUN Johor bukan zoo, jadi tidak perlu menjerit-jerit, baling kerusi, caci maki pun boleh sampaikan pendapat dan pandangan. Itu yang sepatutnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN