Nikmati perkhemahan rahmah di tengah Putrajaya

Nikmati perkhemahan rahmah di tengah Putrajaya

aktiviti glamping kini semakin mendapat tempat sebagai pilihan rekreasi moden.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesibukan kota, jadual kerja yang padat dan komitmen harian yang tidak pernah berpenghujung menyebabkan ramai keluarga kini mencari ruang untuk ‘bernafas’ dan meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang.

Namun, tidak semua mempunyai masa untuk memandu berjam-jam ke kawasan percutian yang jauh.

Atas sebab itu, aktiviti perkhemahan dan glamping kini semakin mendapat tempat sebagai pilihan rekreasi moden yang menawarkan pengalaman mendekati alam semula jadi tanpa memerlukan perancangan rumit atau perbelanjaan besar.

Terletak di Taman Wetland Putrajaya, Tapak Perkhemahan dan Glamping Wetland menjadi destinasi pilihan keluarga yang mahu menikmati suasana tenang, kehijauan alam serta udara segar tanpa perlu meninggalkan Lembah Klang.

Lebih menarik, pengunjung hanya perlu membayar RM30 bagi satu tapak perkhemahan pada hari bekerja menerusi pakej Rahmah yang diperkenalkan tahun ini.

Pengurus Operasi Gopeng Glamping Park (GGP) Consultancy & Training Services Sdn. Bhd., Adam Haikal Yusof berkata, pakej tersebut diperkenalkan bagi menghidupkan suasana perkhemahan pada hari bekerja selain membantu golongan keluarga menikmati aktiviti rekreasi pada kos lebih rendah.

Menurutnya, sebelum ini kadar sewaan tapak perkhemahan ialah RM50 pada hari bekerja dan RM80 pada hujung minggu.

“Bila ada perasmian program harga rahmah baru-baru ini, kami fikir kenapa tidak cuba tarik lebih ramai orang datang berkhemah pada hari bekerja dengan harga lebih rendah.

“Hujung minggu memang sudah ramai pengunjung, jadi pakej rahmah ini kita fokuskan untuk hari bekerja sahaja buat masa sekarang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain sewaan tapak murah, pengunjung turut boleh mendapatkan pakej pek makanan rahmah serendah RM9 seorang yang lengkap dengan makanan, minuman dan buah-buahan.

Menurut Adam, inisiatif itu diperkenalkan bagi memudahkan pengunjung terutama keluarga yang berkhemah tanpa perlu keluar membeli makanan atau membuat tempahan penghantaran luar.

“Kadang-kadang keluarga datang berkhemah mahu santai sahaja. Jadi kita sediakan pilihan makanan pada harga murah supaya lebih mudah dan menjimatkan,” katanya.

Walaupun menawarkan harga mampu milik, tapak perkhemahan itu dilengkapi pelbagai kemudahan moden seperti parkir percuma, plug point di setiap tapak, kawasan unggun api, dewan terbuka, tandas lelaki dan wanita, surau serta kolam oasis yang sesuai untuk kanak-kanak.

Selain menawarkan suasana santai dan mesra keluarga, tapak perkhemahan itu turut menitikberatkan konsep mesra Muslim dengan melarang pengambilan alkohol, makanan tidak halal serta aktiviti merokok, vape dan dadah di kawasan berkenaan.

Pengunjung yang melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan kompaun sehingga RM3,000 bagi memastikan suasana perkhemahan kekal selesa dan selamat.

Sementara itu, faktor keselamatan juga menjadi keutamaan apabila kawasan Taman Wetland dipantau pengawal keselamatan siang dan malam selain mempunyai rondaan berkala serta butang kecemasan untuk pengunjung.

Bagi keluarga yang mahu menikmati suasana alam tanpa perlu membawa kelengkapan sendiri, pihak pengurusan turut menawarkan sewaan khemah pada harga antara RM50 hingga RM110 mengikut jenis khemah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN