Menurut Hisyam, tiada ruang untuk mana-mana individu yang sudah berumah tangga memberi alasan kononnya mereka ‘jatuh cinta’ dengan orang lain sehingga sanggup mengkhianati pasangan sendiri.
Katanya, tindakan menduakan pasangan bukan sahaja satu bentuk pengkhianatan, malah merupakan petanda jelas seorang suami yang mempunyai sikap red flag dalam sesebuah perkahwinan.
“Bagi saya, apabila seseorang lelaki itu sudah berkahwin, dia perlu tahu tanggungjawab dan batasannya. Tidak ada istilah sudah ada isteri tetapi kemudian mahu jatuh cinta dengan orang lain.
“Ramai suka menggunakan alasan kononnya perasaan itu datang tanpa dipaksa, tetapi hakikatnya apabila kita sudah memilih untuk mendirikan rumah tangga, kita juga memilih untuk menjaga kepercayaan pasangan. Sebab itu saya kata, curang adalah kesalahan yang sangat besar dan tidak sepatutnya berlaku.
“Kalau tanya saya, itu memang ‘the biggest no-no ever’. Ia bukan sekadar kesilapan biasa tetapi satu pengkhianatan yang boleh menghancurkan hubungan, keluarga dan kehidupan orang yang kita sayang,” katanya.
Sejak beberapa episod kebelakangan ini, watak Lukman semakin dibenci penonton selepas tindakannya menjalinkan hubungan sulit dengan Bella lakonan Mawar Rashid yang juga merupakan kakak ipar kepada isterinya, Azura.
Malah, ramai dalam kalangan penonton menyifatkan karakter tersebut sebagai contoh suami red flag kerana bukan sahaja berlaku curang, malah dilihat tidak menunjukkan rasa bersalah terhadap tindakannya.
Mengulas perkara itu, Hisyam mengakui kejayaan membuatkan penonton berasa marah membuktikan mesej yang ingin disampaikan menerusi drama tersebut berjaya sampai kepada masyarakat.
Namun dalam masa sama, pelakon ini menegaskan, sikap Lukman tidak mencerminkan dirinya dalam kehidupan sebenar kerana pengkhianatan terhadap pasangan merupakan perkara yang tidak boleh diterima olehnya.
“Secara peribadi, saya memang tidak akan melakukan perkara seperti itu dalam hubungan saya. Kita semua manusia dan tidak sempurna, mungkin ada melakukan kesilapan dalam pelbagai perkara.
“Tetapi apabila melibatkan kecurangan, saya melihatnya sebagai sesuatu yang berbeza. Ia melibatkan kepercayaan yang dibina bertahun-tahun dan apabila kepercayaan itu dikhianati, kesannya bukan mudah untuk dipulihkan.
“Sebab itu saya berpendapat curang bukan sahaja menyakitkan pasangan, malah meninggalkan kesan kepada seluruh keluarga. Ia bukan perkara yang boleh dipandang ringan atau dianggap normal dalam sesebuah hubungan,” ujarnya.










