Duit lesap dikebas toyol? - Utusan Malaysia

Duit lesap dikebas toyol?

SALAH seorang ahli keluarga Fatimah menyorok wang dalam peti ais bagi mengelak dikebas toyol. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kehidupan penduduk di Kampung Tok Kenali, Kampung Pulai dan Kampung Polong, di sini tidak lagi tenteram selepas kejadian wang hilang secara tiba-tiba semakin kerap berulang, dipercayai angkara toyol.

Sejak Februari lalu hingga kini, kira-kira 20 keluarga mendakwa sudah menjadi mangsa ‘toyol’ berkenaan dengan nilai wang tunai tertinggi yang pernah dilaporkan lesap begitu sahaja mencecah RM10,000.

Sehubungan itu, pelbagai cara pelik diamalkan penduduk bagi mengelak kehilangan wang, antaranya, mengepit wang kertas dengan stapler atau pengokot pada satu penjuru, mengikat dan merenyukkan wang kertas serta menyimpannya dalam peti sejuk.

Seorang penjawat awam di Kampung Polong, Sudarwaty Abdul Rajab, 42, memberitahu, dia menjadi mangsa terbaharu toyol berkenaan apabila kehilangan wang tunai sebanyak RM500 yang disimpan dalam beg, Jumaat lalu.

“Hari itu saya mengeluarkan RM1,000 dari bank untuk diberikan kepada ibu bapa saya di kampung. Ketika mahu menyerahkan wang tersebut kepada mereka, saya terkejut apabila wang dalam beg hanya tinggal RM500.

“Saya mengesyaki wang tersebut dikebas toyol kerana sebelum ini wang tabung anak saya juga tiba-tiba hilang tanpa sebarang petunjuk,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Tambah Sudarwaty, selepas kisah toyol membuat onar di kampung tersebar sejak awal tahun ini, dia sering mengamalkan petua orang lama, iaitu mengikat semua wang kertas yang ada dan membiarkannya dalam keadaan renyuk.

“Orang kata kalau wang diikat dan dibiarkan renyuk, toyol tidak akan mengambilnya. Namun selepas mengeluarkan duit dari bank baru-baru ini, saya terlupa untuk berbuat demikian,” katanya.

SEORANG penduduk menunjukkan wang yang dikepit menggunakan stapler di satu penjuru sebelum disimpan dalam beg bagi mengelak dikebas toyol.

Penduduk Kampung Pulai dikenali sebagai Fatimah, 40-an pula mendakwa, kejadian tersebut sebenarnya sudah berlaku kira-kira 10 tahun lalu sebelum toyol terbabit semakin kerap membuat onar sejak kebelakangan ini.

“Sebelum ini beberapa penduduk mendakwa pernah ternampak kelibat makhluk hitam berbulu pada awal pagi. Setiap kali kelibatnya muncul, pasti ada kes duit orang kampung hilang kena curi.

“Sebelum ini pelbagai cara saya buat untuk elak duit dikebas toyol seperti sorok dalam peti ais, bawah tilam atau dalam tin, namun tetap hilang. Saya cuba petua kepit duit kertas menggunakan stapler, pun tetap gagal,” katanya.

Kata Fatimah, selepas meminta bantuan seorang ustaz untuk ‘memagar’ rumah mereka supaya tidak dapat dibolosi makhluk halus, barulah keluarganya terselamat daripada menjadi mangsa kecurian toyol tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian kehilangan wang itu.

“Saya menasihatkan penduduk yang kehilangan wang supaya membuat laporan segera bagi membolehkan polis menjalankan siasatan. Saya juga minta orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

“Selain itu, pihak polis akan berusaha menjalankan rondaan lebih kerap di kawasan kampung yang dikatakan terlibat dengan kecurian wang ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya