Dua minggu doktor kontrak tunggu tanpa petunjuk - Utusan Malaysia

Dua minggu doktor kontrak tunggu tanpa petunjuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas dua minggu, penantian kira-kira 23,000 doktor kontrak untuk mengetahui sistem lebih telus berhubung isu lantikan doktor kontrak seperti dijanjikan kerajaan sehingga kini belum ada sebarang pertunjuk.

Menerusi perbincangan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dengan doktor kontrak pada 23 September lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan akan menetapkan kaedah penilaian prestasi bagi perjawatan tetap selain membuka peluang melanjutkan pengajian dalam program kepakaran.

Doktor Kontrak, Dr. Syahidul Ammar Said berkata, kumpulan doktor kontrak kini terus menunggu penyelesaian jangka pendek dan panjang yang bakal ditawarkan kerajaan.

“Sudah lebih dua minggu sejak Kementerian Kesihatan berjanji akan melaksanakan sistem yang telus berhubung pelantikan doktor kontrak namun hingga sekarang masih tiada perkembangan mengenai keputusan itu,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, pihaknya sedang berusaha mendapatkan perkembangan terbaharu selain terus mengingatkan kerajaan melalui pautan-pautan yang dikirim menerusi media sosial rasmi Hartal Doktor Kontrak.

“Dalam perjumpaan kami bersama Khairy, beliau mengarahkan Ketua Setiausahanya untuk meneliti tentang sistem lantikan tetap yang lebih telus.

“Selain itu, sekurang-kurangnya kerajaan akan tampil dengan penyelesaian jangka pendek dan bersedia untuk penyelesaian jangka panjang dalam masa yang diberikan,” katanya.

Dalam pertemuan pada, 23 September lalu, Khairy dilaporkan berkata, pegawai perubatan lantikan kontrak akan menikmati sistem baharu dengan penilaian lebih baik dan telus yang dijangka diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Pada 26 Julai, kumpulan doktor kontrak tersebut menyertai Gerakan Hartal Doktor di seluruh selepas mendakwa kerajaan gagal memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci.

Untuk rekod, kerajaan mensyaratkan doktor yang ingin melanjutkan pelajaran dalam program kepakaran mesti sekurang-kurangnya berkhidmat secara tetap dengan kerajaan tiga tahun namun bergantung kepadaLaporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 85 peratus.

Sementara itu, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz pula berkata, beliau juga belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan walaupun masa yang diambil sudah melebihi tempoh yang kerajaan sendiri tetapkan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai langkah seterusnya untuk menggesa kerajaan bertindak segera dalam menyelesaikan masalah doktor kontrak .

“Saya masih lagi mendapat jawapan daripada menteri yang terlibat dan masih menunggu akan keputusan akhir kerajaan. Mungkin juga beliau (Khairy) agak sibuk kebelakangan ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN