Bapa mahu derita bayi tanpa lubung dubur berakhir - Utusan Malaysia

Bapa mahu derita bayi tanpa lubung dubur berakhir

ZAKIRAH Ghazali membersihkan badan Muhammad Fayyadh di Kampung Changkat Setol, Changlun, Kubang Pasu, Kedah. - MINGGUAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang bapa yang tidak sanggup melihat penderitaan ditanggung bayinya dilahirkan tanpa lubang dubur, tetap berusaha memastikan rawatan terbaik dapat diberikannya.

Mohamad Faiz Abdul Halim, 25, berkata, dia kini sedang menyimpan wang untuk pembedahan bayinya, Muhammad Fayyadh Zikri Mohamad Faiz berusia tiga bulan itu supaya dapat menjalani kehidupan normal.

Katanya, selain tidak mempunyai lubang dubur, bayi itu juga tidak dapat membuang air kecilnya dengan sempurna apabila sebahagian daripada air kencingnya keluar melalui pusat manakala sebahagian lagi menerusi kemaluan.

“Sebelum ini, Muhammad Fayyadh sudah menjalani pembedahan stoma di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi membolehkan najisnya keluar menerusi saluran di perut.

“Namun doktor memaklumkan anak saya itu perlu menjalani dua lagi pembedahan bagi membolehkannya membuang air seperti biasa, namun tarikh belum ditetapkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Changkat Setol di Changlun, di sini semalam.

Tambahnya, setakat ini kos pembedahan tersebut belum diketahui dengan pihak hospital memaklumkan, ia mungkin diketahui selepas pembedahan dijalankan.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan namun terpaksa berhenti kerana perlu memberi lebih perhatian kepada Muhammad Fayyadh termasuk membawanya ke HSB dan Klinik Kesihatan Changlun pada hari tertentu bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Buat masa ini, saya menjalankan perniagaan biskut di tapak pasar malam Changlun serta secara dalam talian. Pendapatan kasar saya dianggarkan kira-kira RM30 sehari manakala isteri, Zakirah Ghazali, 25, tidak bekerja kerana turut perlu menjaga anak sulung kami, Nur Rabiatul Adawiyah yang berusia lima tahun,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, dia perlu berbelanja sebanyak kira-kira RM300 sebulan bagi membeli barangan untuk membersihkan pusat serta saluran membuang najis di perut Muhammad Fayyadh Zikri.

“Selain itu saya perlu menyediakan susu formula khas buat Muhammad Fayyadh yang berharga RM74 sekotak. Kebiasaannya saya akan membeli tiga kotak sebulan.

“Setakat ini ada juga wakil rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan membantu dan bertanya khabar. Selain itu saya juga ada memohon bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dikhabarkan permohonan itu sedang diproses,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Mohamad Faiz boleh menghubunginya di talian 013-4513575 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam isterinya, Zakirah bernombor 02011024350184. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.