PETALING JAYA: Dua wakil perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Eogene Ewe berjaya meloloskan diri ke undian utama pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney, Australia, hari ini.
Bekas bintang No. 2 dunia, Zii Jia berdepan laluan sukar apabila dia dipaksa bekerja keras sebelum berhasil membenam dua pemain Jepun, Shogo Ogawa dan Riki Takei di peringkat kelayakan.
Dalam aksi kelayakan pertama, Zii Jia yang kini menghuni ranking No. 64 dunia hampir menjadi mangsa kejutan, tetapi, mujur dia berjaya menewaskan pemain ke-72 dunia, Ogawa 24-22, 22-20 dalam masa 52 minit.
Pada kelayakan kedua pula, anak jati Kedah itu dipaksa bermain selama lebih sejam sebelum beroleh kemenangan ke atas Takei yang merupakan pemain ke-74 dunia 15-21, 21-17, 21-16.
Wakil Taiwan, Lee Chia Hao yang berada di tangga ke-34 dunia menanti Zii Jia di pusingan pertama, esok.
Berdasarkan rekod pertemuan, Zii Jia terikat dengan kedudukan 3-3 berdepan Chia Hao dan kali terakhir mereka berjumpa adalah pada separuh akhir Terbuka Australia, dua tahun lalu yang berpihak kepada pemain negara tersebut.
Sementara itu, pemain muda Malaysia, Eogene mengalahkan pencabar dari India, Manraj Singh yang menghuni ranking ke-90 dunia 21-11, 21-18 dalam masa 39 minit.
Pada kelayakan kedua, pemain No. 77 dunia itu menumpaskan Mark Shelley Alcala dari Amerika Syarikat 18-21, 21-13, 21-11 dalam masa 1 jam 2 minit.
Kemenangan yang dicatat Eogene itu merupakan kejayaan kedua diukirnya ke atas pemain ke-84 dunia tersebut dalam Jelajah Dunia BWF.
Laluan getir menanti Eogene pada peringkat 32 terbaik apabila dia dijadual berdepan pemain No. 23 dunia, Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong.
Kedua-dua pemain belum pernah bertemu dalam sebarang kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita Malaysia, Goh Jin Wei terpaksa menarik diri daripada Terbuka Australia selepas permohonan visanya ditolak sebanyak dua kali.
Pemain profesional itu yang layak ke undian utama secara automatik, sepatutnya akan berdepan wakil India, Malvika Bansod dalam aksi pembukaan pada kejohanan berstatus Super 500 itu. – UTUSAN










