Awas lokasi riadah maut - Utusan Malaysia

Awas lokasi riadah maut

ORANG ramai dinasihatkan lebih berwaspada menjalankan aktiviti rekreasi termasuk di Sungai Kedondong, Batang Kali, Selangor. - MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 216 lokasi atau lebih 80 peratus daripada 260 kawasan perkelahan di seluruh negara dikenal pasti berisiko tinggi dan boleh membawa maut untuk menjalankan aktiviti rekreasi.

Daripada jumlah tersebut, Kedah menjadi negeri tertinggi mempunyai lokasi riadah maut iaitu 52 kawasan diikuti Terengganu dan Johor masing-masing mencatatkan 32 serta 30 kawasan.

Apa yang membimbangkan, sebanyak 25 kes kematian mati lemas dicatatkan hanya dalam tempoh sebulan bermula 20 Ogos lalu, iaitu selepas kerajaan memberi kebenaran menjalankan aktiviti di air bagi negeri Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berwaspada semasa menjalankan aktiviti perkelahan yang dijangka meningkat berikutan kebenaran merentas negeri.

NOR HISHAM MOHAMMAD

Pengarah Bahagian Operasinya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, terdapat kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko kerana mempunyai pusaran air terutama di air terjun dan fenomena arus karau di kawasan pantai.

“Ini antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes mati lemas di negara ini.

“Jumlah angka kematian adalah sangat serius dan berlaku peningkatan ketara terutama selepas kebenaran aktiviti sosial dibenarkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Antara kawasan perkelahan yang dikenal pasti berisiko tinggi di Kedah membabitkan Air Terjun Lata Kulim, Telaga Tujuh dan Air Terjun Temurun di Langkawi; Air Terjun Bukit Hijau, Air Terjun Lata Bayu dan Lata Celak Iboi di Baling; Pusat Rekreasi Tupah di Merbok Sungai Petani dan Hutan Lipur Puncak Janing di Kuala Nerang.

Berdasarkan rekod kejadian sebelum ini, beberapa kawasan di Terengganu dikenal pasti berisiko tinggi antaranya Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang; Lata Tembakah dan Lata Belatan di Besut dan Air Terjun Chemerung, Langsir serta Lubuk Kain di Dungun.

Di Johor termasuk Air terjun Tak Pekoi, Bekok dan Air Terjun Taka Melor di Labis; Pantai Batu Layar, Kota Tinggi serta Pantai Tanjung Balau.

Di Selangor pula Air Terjun Sungai Chilling, Air Terjun Sungai Pertak, Air Terjun Sungai Sendat dan Air Terjun Sungai Tua, Ulu Yam serta Sungai Kedondong di Batang Kali.

Kata Nor Hisham, bagi kawasan yang mempunyai pusaran air, faktor seperti perubahan laluan aliran dan kederasan air menyumbang kepada pembentukan pusaran berkenaan.

Bagaimanapun, kata beliau, jumlah kawasan yang membentuk pusaran air berubah-ubah kerana laluan aliran dan kederasan arus sentiasa berubah terutama di kawasan deras.

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 20 peratus permohonan cuti anggota bomba kini dibekukan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir peralihan cuaca Monsun Timur Laut dan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan selepas kelonggaran aktiviti riadah serta rentas negeri dibenarkan.

“Arahan telah dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga di beberapa negeri yang dikenal pasti.

“Tambahan sebanyak 15 peratus daripada nilai peruntukan tahun lalu diberikan sebagai elaun kepada anggota bomba bantuan yang kini sedia diatur gerak dalam apa jua keadaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×