KUALA TERENGGANU: Seramai 70,073 daripada keseluruhan 138,100 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19, setakat 1 Oktober lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, berdasarkan tempoh sama, seramai 2,736 orang atau dua peratus direkodkan lengkap dua dos vaksin.
Menurut beliau, pencapaian itu adalah kejayaan bagi rakyat Terengganu sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan pada 15 September lalu.
“Kepada ibu bapa, pastikan anak-anak yang layak, hadir mendapatkan dos lengkap vaksin Covid-19.
“Sebanyak 57 sekolah di seluruh negeri dipilih sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) untuk remaja yang beroperasi sejak 21 September lalu hingga Khamis ini,” kata beliau di Facebook.
Menurut Kasemani, PICK Remaja turut dilaksanakan secara walk-in di klinik kesihatan bagi pelajar berasrama penuh dari negeri dan daerah selain Terengganu, individu yang tidak bersekolah di samping remaja berumur 12 tahun yang sudah mencapai tarikh lahir.
Dalam pada itu, katanya, seramai 738,839 atau 91.4 peratus populasi dewasa Terengganu mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 manakala 686,363 atau 84.9 peratus pula telah melengkapkan vaksinasi berkenaan.- UTUSAN