KUALA LUMPUR: Pelakon, Syafie Naswip berharap penjelasannya berhubung adab kali pertama berjumpa dengan seseorang tidak lagi disalahertikan pembaca.
Menurutnya, dalam satu hantaran di media sosial sebelum ini, panggillah penggiat seni dengan nama mereka adalah lebih baik berbanding disapa retis.
“Harap jelas ya penjelasan saya. Tidak mengapa, mana yang caci tidak tahu cerita atau hanya baca tajuk.
“Jangan risau saya maafkan semua. Niat saya cuma nak bagitahu, jangan kita bersikap kurang adab dengan mereka yang pertama kali kita jumpa.
“Cukup kita gelarkan nama sahaja. Tidak perlu nak retis retis. Pengakhirannya nanti dalam kubur mati kelak, bukan nama retis ditanya, nama sendiri,” luahnya di Instagram.
Syafie berkata demikian sebagai maklum balas berkenaan seorang individu di media sosial yang bersikap kurang adab ketika memuat naik status yang disertakan artikel mengenainya.
Jelas Syafie lagi, khalayak kerap memanggilnya dengan gelaran retis setiap kali terjumpa di luar sama ada tujuan untuk bergambar atau sekadar menyapa.
“Adakah perkataan itu wajar diterima oleh puan sendiri? Sama-sama muhasabah diri.
“Saya berumur 29 tahun mustahil saya tidak terasa jika orang bersikap begitu pada saya pada permulaan berjumpa.
“Di mana rasa hormat atau adab yang kita pelajari sejak kecil? Itu maksud saya puan. Maaf jika penjelasan saya menyentak hati puan,” tulisnya.
Menjengah di ruangan komen, majoriti peminat dan pelayar Instagram senada dengan apa yang disampaikan oleh Syafie. – UTUSAN ONLINE










