MELAKA: Seorang wanita rakyat Malaysia, Sharifah Hanim Zakaria merayu bantuan orang ramai bagi membiayai kos guaman RM100,000 dalam kes menuntut hak penjagaan anaknya di Mahkamah Keluarga London Timur pada 23 November ini.
Abang kepada wanita terbabit, Zolkarnain Zakaria, 44, berkata, perbicaraan tersebut bagi menuntut hak penjagaan Emily Rose Isabella, 2, iaitu anak ketiga Sharifah Hanim, 41, yang berkemungkinan hilang hak penjagaan kepada bekas suami, Bryan Vinot di United Kingdom (UK).
Katanya, Sharifah Hanim bernikah dengan Vinot pada 2006 di London, namun bercerai pada 2018 sewaktu mengandungkan Emily Rose Isabella.
Jelasnya, lima hari selepas dilahirkan pada 29 Disember 2019, bayi itu diambil oleh pihak khidmat sosial di UK setelah mendapati Sharifah Hanim tidak layak mendapat hak penjagaan kerana masalah kesihatan.
“Sharifah Hanim disahkan menghidap penyakit Bipolar Affective Disorder hingga menyebabkan tidak layak mendapat hak penjagaan anak yang kini berusia hampir dua tahun.
“Dua anak lelakinya Duke dan Luke berstatus warganegara UK telah diambil oleh bekas suaminya yang telah kembali ke agama asal. Ini sahaja peluang untuk saya selamatkan Emily Rose Isabella yang akan hilang status beragama Islam.
“Justeru, saya memerlukan sumbangan orang ramai untuk membantu saya, bukan sahaja demi mendapatkan kembali anak buah saya. Tetapi juga membawa balik Sharifah Hanim untuk kami adik-beradik menjaga mereka semula,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambah Zolkarnain, Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di UK telah membantu menguruskan pelbagai urusan melibatkan dokumen bagi perbicaraan November ini, termasuk melantik peguam Duncan Lewis Solicitors bagi mewakili Sharifah Hanim.
Namun, katanya, kos guaman sebanyak RM85,749 terpaksa ditanggung sendiri, termasuk tiket penerbangan dan penginapan selama lapan hari.
Dalam pada itu, dia beritahu lagi, untuk perbicaraan November depan, Sharifah Hanim telah menamakan kawan baiknya, Zamzarina Hassan, 41, dari Padang Temu dekat sini sebagai keluarga angkat.
“Kami sekeluarga bersetuju atas permintaan adik untuk meneruskan penyerahan permohonan hak penjagaan kepada Zamzarina, sekiranya ini adalah jalan yang terbaik asalkan Emily Rose Isabella dapat dibawa pulang ke Malaysia,” ujarnya.
Zolkarnain berkata, buat masa ini pihak berkuasa tempatan di London memberikan bantuan rumah kediaman sementara, selain bantuan keperluan harian RM573-RM1,147 sebulan kepada adiknya. – UTUSAN










