BUTTERWORTH: Tidak tahan dengan pelbagai isu yang didakwa berpunca daripada kehadiran warga Rohingya, sekumpulan penduduk Pangsapuri Sri Bagan dan kawasan sekitarnya di Bagan Dalam nekad mahu memastikan kawasan itu bebas daripada etnik berkenaan bermula Ogos ini.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sri Bagan, Mohamed Farzan Haja Muhaidin berkata, isu membabitkan warga Rohingya di Bagan Dalam telah berlarutan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Menurut beliau, bilangan etnik itu semakin bertambah apabila ada yang telah berkeluarga, malah berani menjalankan perniagaan seperti warga tempatan.
“Isu kacau ganggu itu memang ada juga, tetapi tidak banyak dilaporkan. Masalah utama warga Rohingya di sini ialah daripada segi kebersihan. Ada kes mereka sanggup bela kambing dalam flat yang disewa daripada penduduk dan membiarkannya begitu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohamed Farzan berkata, penduduk pernah menegur dan memberi amaran kepada golongan itu, malah cuba mengusir mereka namun gagal apabila ada pihak yang mempertahankan mereka untuk tinggal di situ.
“Jadi, apabila isu Rohingya ini kembali hangat, kami ambil peluang ini untuk meminta mereka keluar dari kawasan kami secara baik,” katanya.
Dianggarkan terdapat lebih daripada 200 warga Rohingya yang menghuni pangsapuri tersebut ketika ini selain beratus-ratus lagi dipercayai tinggal di kawasan sekitarnya termasuk perkampungan di situ.
Tambah beliau, penduduk turut bimbang dengan pengebumian warga asing beragama Islam, termasuk etnik Rohingya di tanah perkuburan sekitar situ menyebabkan ruang semakin terhad.
“Kadang-kadang kami pelik. Apabila ada sahaja kematian yang melibatkan warga asing termasuk etnik Rohingya, Bagan Dalam akan dipilih sebagai lokasi pengebumian walaupun alamat tempat tinggal mereka bukan di sini.
“Pihak masjid juga sudah ambil maklum mengenai perkara ini dan kita akan pastikan warga tempatan akan diberi keutamaan untuk dikebumikan di Bagan Dalam berbanding warga asing selepas ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, wakil penduduk, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta pihak masjid sepakat melakukan ‘pembersihan’ etnik Rohingya secara berperingkat di kawasan itu dan turut mendapat sokongan daripada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Buat permulaan, kami akan pasang kain rentang di beberapa lokasi di sini dan mengeluarkan memo meminta mereka berpindah dari sini.
“Sudah lama kami berlembut dengan mereka dan inilah masanya untuk kami mula bertegas demi masa hadapan anak cucu kami,” katanya.-UTUSAN










