Kemasukan pelajar ke mana-mana menara gading, adalah bertujuan menjadikan mereka insan berilmu dan boleh berkhidmat bakti kepada masyarakat.
Sepanjang tempoh pengajian, mereka perlu menghadiri kuliah dan amali , mengasah bakat dan kemahiran mereka seterusnya menghasil, mencipta dan membangunkan projek sesuai dengan bidang pengajian masing-masing yang mempunyai nilai ekonomikal sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.’
Apa juga bidang pengajian mereka peringkat awalnya akan menerangkan tentang teori yang boleh aplikasikan dalam menghasilkan inovasi.
Membangunkan sesuatu produk atau inovasi merupakan hasil daripada kelas pengajian dalam bilik kuliah tetapi proses pembelajaran seperti itu tidak cukup mengasah bakat kemahiran pelajar.
Baru- baru ini seramai 73 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan kereta lumba Formula SAE, Putra 2 dalam tempoh 13 bulan bagi mewakili Malaysia ke Formula Japan 2026 ke-24 di Aichi Sky Expo, Jepun, Ogos ini.
Jentera itu dibangunkan Putra Motorsport Team (PMT) daripada Fakulti Kejuruteraan UPM dengan sokongan 10 penasihat akademik dan lima staf teknikal, merangkumi proses reka bentuk, simulasi, fabrikasi, pemasangan dan pengujian.
Ketua Projek Putra 2, Aliman Zafran Yuslaimi, 23, berkata, projek itu bukan sekadar penyertaan pertandingan, sebaliknya medan sebenar untuk pelajar mengaplikasikan ilmu kejuruteraan yang dipelajari di bilik kuliah.

Katanya, pembangunan Putra 2 menuntut disiplin tinggi kerana setiap keputusan teknikal perlu dibuktikan melalui kajian, kiraan dan data sebelum diterjemahkan kepada komponen sebenar.
“Putra Motorsport bukan seperti tugasan biasa dalam kelas kerana setiap kajian dan reka bentuk perlu dipertahankan sebelum dihasilkan.
“Kalau kajian tidak betul, komponen yang dibuat tidak akan berfungsi dan dalam sukan permotoran, ia melibatkan keselamatan pemandu,” katanya.
Putra 2 akan menyertai pertandingan itu dari 2 hingga 7 Ogos ini, sekali gus menandakan penyertaan keempat PMT dalam Formula SAE Japan.
Formula SAE Japan (FSAEJ) atau Student Formula Japan – Monozukuri Design Competition merupakan pertandingan kejuruteraan antarabangsa yang mencabar pasukan pelajar universiti mereka bentuk, membina dan menguji kereta lumba formula bersaiz kecil.
Pertandingan tahunan anjuran Society of Automotive Engineers of Japan (JSAE) itu bukan sekadar menilai kelajuan di litar, tetapi turut menguji reka bentuk, kos, dokumentasi teknikal, pelan perniagaan, kerja berpasukan dan keupayaan pelajar mengurus projek seperti dalam industri automotif sebenar.
Aliman Zafran berkata, cabaran terbesar pasukan ketika ini adalah pengurusan masa, komunikasi antara jabatan teknikal serta kekangan dana untuk membawa pasukan dan jentera ke Jepun.
Katanya, pasukan itu mempunyai 73 ahli, namun hanya 23 orang dijangka dibawa ke Jepun kerana kos perjalanan, logistik dan penginapan yang tinggi.
“Kami bekerja seperti jurutera sebenar, tetapi pada masa sama masih pelajar. Siang kami masuk kelas, malam kami siapkan kereta.
“Sekarang kami perlu bahagikan masa antara kelas, projek tahun akhir dan Putra Motorsport, pada satu tahap, perkara yang terpaksa dikorbankan adalah tidur,” katanya ketika ditemui semasa pelancaran Putra 2 oleh oleh Naib Canselor UPM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah di Fakulti Kejuruteraan UPM Serdang baru-baru ini.

Zafran berkata, Putra 2 dibangunkan ketika pasukan hanya mempunyai kira-kira RM5,000 pada peringkat awal, sebelum projek bernilai hampir RM120,000 itu berjaya direalisasikan melalui sokongan universiti, pensyarah dan penaja industri.
Katanya, antara pembaharuan utama Putra 2 ialah penggunaan sistem pemerolehan data yang membolehkan prestasi kereta dipantau secara masa nyata ketika berada di litar.
“Dengan sistem ini, kami tidak lagi membina kereta secara agak-agak dan setiap perubahan boleh dibuat berdasarkan data sebenar, bukan hanya bergantung kepada maklum balas pemandu.
“Kami juga menambah baik sistem suspensi pushrod yang membolehkan talaan kereta dibuat dengan lebih tepat mengikut keperluan litar,” katanya. Zafran berkata, sasaran utama pasukan bukan hanya mengejar kedudukan, tetapi memastikan pengalaman membina Putra 2 menjadi rantaian ilmu kepada generasi pelajar selepasnya.
“Putra 2 bukan platform untuk berbangga, tetapi medan pengalaman dan pemindahan ilmu kepada pelajar selepas kami.
“Kami mahu pasukan ini terus hidup dan lebih ramai pelajar mendapat peluang belajar sebagai jurutera sebenar,” katanya.
Pemandu Putra 2, Muhammad Fadhlin Mohd. Fuaad, 21, berkata, pemilihan pemandu dibuat melalui dua peringkat, termasuk tapisan berdasarkan peraturan pertandingan di Jepun dan simulasi pemanduan.

Pelajar tahun tiga Bacelor Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian itu berkata, beliau mencatat masa terbaik kira-kira satu minit 10 saat bagi simulasi satu pusingan sejauh kira-kira 1.3 kilometer.
“Kami bukan datang untuk memandu sahaja tetapi kami juga membangunkan jentera daripada sebatang tiub sehingga menjadi sebuah jentera.
“Ada masa kami habis kelas pukul 5 petang, kemudian terus ke makmal untuk siapkan kereta sampai pukul 2 atau 3 pagi,” katanya.
Sementara itu Ahmad Farhan berkata, pembangunan Putra 2 membuktikan universiti bukan sahaja menjadi pusat penyampaian ilmu, tetapi platform melahirkan bakat muda yang mampu menghasilkan teknologi sebenar.
Katanya, projek itu memberi peluang kepada pelajar keluar daripada zon selesa, menyelesaikan masalah sebenar dan bekerja dalam suasana yang hampir dengan industri.
“Di UPM, kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik tetapi melalui keupayaan pelajar menghasilkan penyelesaian sebenar yang memberi nilai kepada industri dan masyarakat,” katanya.
Penasihat PMT, Prof. Ir. Dr. Mohd. Khairol Anuar Mohd. Ariffin berkata, pertandingan Formula SAE bukan sekadar perlumbaan kerana penilaian bermula dari peringkat pembangunan, fabrikasi, pengiraan kos, laporan teknikal, pembentangan perniagaan dan prestasi di litar. Katanya, pasukan UPM menyasarkan kedudukan kelompok 30 terbaik selepas menduduki tempat ke-60 daripada
80 pasukan menerusi penyertaan Putra 1 pada 2024.

“Putra 2 menggunakan casis keluli Chromoly, badan gentian karbon komposit buatan khas, sistem suspensi pushrod dan enjin CFMOTO 700MT berkapasiti 693cc yang menghasilkan 72 kuasa kuda serta 61Nm tork. “Kos pembangunan jentera itu berjumlah RM118,787.12 dengan sokongan penaja utama termasuk Embun Karisma Resources (M) Sdn. Bhd., Ranhill Berhad dan CFMOTO melalui Sunlight Power Sdn. Bhd.,” katanya. –UTUSAN









