Top Research Scientists Malaysia 2021-Mengubah Landskap STIE di Malaysia - Utusan Malaysia

Top Research Scientists Malaysia 2021-Mengubah Landskap STIE di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Akademi Sains Malaysia (ASM) telah mengiktiraf 22 penerima Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2021 atas sumbangan dan pencapaian mereka yang cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE). Merentasi pelbagai disiplin, penerima anugerah TRSM mengubah landskap penyelidikan dan menyumbang kepakaran mereka sebagai penasihat dalam bidang STIE di Malaysia.

Kenali minda unggul Malaysia!

DR. ABU BAKAR SULONG

1/22. Profesor Ir. Dr. Abu Bakar Sulong

Dr. Abu Bakar Sulong terkenal dengan hasil kajian beliau dalam bidang bahan komposit, metalurgi serbuk, dan interaksi antara bahan yang berbeza. Beliau merupakan Jurutera Profesional dengan Praktik di bawah Board of Engineer Malaysia (BEM) dan sedang menjalankan kajian dalam pembuatan aditif bagi titanium dan polimer komposit.

DR. AMMAR ZAKARIA

2/22. Profesor Madya Dr. Ammar Zakaria

Dr. Ammar Zakaria mempunyai misi untuk membangunkan infrastruktur inovatif dan berdaya saing bagi mempromosikan perindustrian lestari. Beliau bekerjasama dengan NanoMalaysia Berhad (NMB) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dalam usaha menangani wabak COVID-19 dengan membangunkan bilik saringan yang telah ditempatkan di sekurang-kurangnya 10 hospital di Malaysia. Bilik saringan ini memberikan perlindungan serta keselesaan kepada barisan hadapan dalam memerangi
Covid-19.

DR. AZLAN ABDUL AZIZ

3/22. Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz

Dr. Azlan Abdul Aziz merupakan penyelidik yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang bahan nano dan peranti nano. Penyelidikannya memberi tumpuan kepada pembentukan, sintesis, dan sifat bahan nano bagi tujuan perubatan dan kesihatan. Beliau komited untuk menjalankan penyelidikan bersumber rendah dan terus menyumbang dalam bidang penyelidikan di Malaysia.

DR. CHAN YEE KIT

4/22. Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Chan Yee Kit

Dr. Chan Yee Kit telah menyumbang dalam pembangunan alat penderiaan jarak jauh (remote sensing instruments). Ground Based Synthetic Aperture Radar yang dihasilkan beliau berkos rendah dan boleh digunakan untuk memantau kawasan tanah runtuh berisiko tinggi agar amaran awal dapat dikeluarkan bagi menyelamatkan nyawa.

 

DR. CHE HASSAN CHE HARON

5/22. Profesor Dr. Che Hassan Che Haron

Terkenal dengan sumbangan beliau dalam bidang proses pemesinan lestari, Dr. Che Hassan Che Haron menggunakan teknik penyejukan kriogenik dan pelinciran dalam kuantiti minima untuk mengurangkan suhu yang dihasilkan semasa proses pemesinan dijalankan. Beliau telah berjaya membangunkan teknik yang baharu, lestari, dan ekonomik seperti penyejukan kriogenik bagi meningkatkan produktiviti dan mewujudkan persekitaran yang mesra pengguna.

DR. CHONG MENG NAN

6/22. Profesor Madya Dr. Chong Meng Nan

Dr. Chong Meng Nan telah memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan dan pelaksanaan sistem air lestari dan nanoteknologi persekitaran untuk menyelesaikan masalah tenaga dan alam sekitar. Hasil kerja penyelidikannya membantu penggubal dasar untuk merancang dan melaksanakan sistem air alternatif dengan berkesan, dan membantu industri tempatan menggunakan pendekatan saintifik dalam pengembangan produk mereka.

DR. HAZLIE MOKHLIS

7/22. Profesor Ir. Dr. Hazlie Mokhlis

Diiktiraf sebagai salah seorang di antara 2 peratus Saintis Terbaik Dunia 2020 (World’s Top 2 peratus Scientist) oleh Stanford University, kajian Dr. Hazlie Mokhlis tertumpu pada sistem tenaga elektrik. Kajian beliau memastikan tenaga elektrik yang bersih, lestari, dan berkualiti tinggi dapat dihasilkan sekali gus menjimatkan kos serta kemampuan menyesuaikan sistem tersebut untuk keperluan masa hadapan.

DR. OOI BOON SENG

8/22. Profesor Dr. Ooi Boon Seng

Penyelidikan Dr. Ooi Boon Seng bertumpukan kepada pemulihan sumber bumi terhad seperti ion logam, zat dan air bersih daripada air sisa dengan menggunakan teknologi gabungan membran. Usaha ini dapat memastikan kelestarian industri yang akan mendatangkan manfaat kepada alam sekitar dan membawa kesan positif kepada sosioekonomi Malaysia.

DR. LIM PHAIK EEM

9/22. Profesor Dr. Lim Phaik Eem

Mempunyai minat dalam alga, penyelidikan Dr. Lim Phaik Eem tertumpu kepada sains rumpai laut. Dengan penglibatan beliau dalam GlobalSeaweedSTAR, sebuah geran yang dibiayai oleh Global Challenge Research Fund of UK Research and Innovation (UKRI), beliau berharap dapat mencari strategi dan penyelesaian untuk untuk mengembangkan potensi Malaysia sebagai pengeluar rumpai laut dan produk rumpai laut terkemuka dunia.

DR. LIM PO TEEN

10/22. Profesor Madya Dr. Lim Po Teen

Dr. Lim Po Teen merupakan pakar terkemuka dalam penyelidikan alga bahaya (Harmful Algal Blooms, HABs). Sebagai Naib Pengerusi Persatuan Penyelidikan HABs dan program UNESCO IOC GLOBALHAB, beliau merancang halatuju penyelidikan dan mengeratkan kerjasama antarabangsa dalam usaha mengurangkan impak HABs ke atas keselamatan makanan laut dan sektor akuakultur.

DR. MOHAMMAD HAMIRUCE MARHABAN

11/22. Profesor Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban

Merupakan pakar dalam kecerdasan buatan (AI) dan robotik, sumbangan Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban dalam aplikasi kecerdasan buatan dalam pemprosesan mineral telah
mengubah industri tersebut sejajar dengan Revolusi Industri Keempat (4 IR). Kini, beliau terlibat dalam Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membangunkan teknologi robotik baharu bagi misi mencari dan menyelamat.

DR. MOHD. RAFIE JOHAN

12/22. Profesor Dr. Mohd. Rafie Johan

Dr. Mohd. Rafie Johan terkenal di peringkat antarabangsa dalam bidang nanoteknologi. Merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Nanoteknologi dan Pemangkinan (NANOCAT), beliau juga dilantik sebagai panel untuk Biasiswa Yang di-Pertuan Agong dan COMSTECH untuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi penilaian kertas kerja saintifik terbaik untuk saintis muslim.

DR. MOHD. SYUHAIMI AB-RAHMAN

13/22. Profesor Ir. Dr. Mohammad Syuhaimi Ab-Rahman

Dr. Mohammad Syuhaimi Ab-Rahman mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan elektronik, khususnya bidang sistem komunikasi optik. Beliau suka berkongsi mengenai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi mendorong minat generasi muda kepada ilmu sains dan teknologi. Melalui usaha seperti Profesor ke Desa, Kem Rahsia Alam dan FKAB4Orphans, beliau memberi inspirasi kepada generasi muda untuk membawa perubahan positif kepada dunia.

DR. ROSALINDA MOHD. NAZAR

14/22. Profesor Dr. Roslinda Mohd. Nazar

Dr. Roslinda Mohd. Nazar membanggakan nama Malaysia dengan mewakili komuniti matematik gunaan di peringkat antarabangsa. Bidang penyelidikan utama beliau adalah pemodelan masalah aliran lapisan sempadan dan pemindahan haba dalam beberapa jenis bendalir. Beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa.

DR. SEVIA MAHDALIZA IDRUS

15/22. Profesor Ir. Dr. Sevia Mahdaliza Idrus

Dr. Sevia Mahdaliza Idrus merupakan antara penerima anugerah antarabangsa 51 Most Impactful Smart Cities Leaders 2019 Award. Beliau juga mengetuai projek kerjasama antarabangsa Jepun-Malaysia bagi sistem pengesanan bendasing di landasan berfrekuensi tinggi 90-100GHz yang sedang diuji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang telah meletakkan KLIA sebagai tumpuan dunia bagi teknologi keselamatan lapangan terbang termaju.

DR. TANG THEAN HOCK

16/22. Profesor Dr. Tang Thean Hock

Profesor dalam biologi molekul, Dr. Tang Thean Hock, mengenal pasti RNA kecil bakteria patogen, pengasingan aptamer asid nukleik, dan penerapannya dalam diagnostik molekul. Beliau mempelopori kajian aptamer dan RNA di Malaysia dan memegang beberapa paten dalam biopenanda molekul (molecular biomarkers) dan aptamer asid nukleik (nucleic acid aptamer).

DR. TANG TONG BOON

17/22. Profesor Madya Dr. Tang Tong Boon

Dr. Tang Tong Boon memfokuskan penyelidikan dalam bidang neuroteknologi dan aplikasi bagi penjagaan kesihatan mental. Penerima Pingat Mountbatten Institut Kejuruteraan dan Teknologi (IET) ini berperanan dalam penciptaan sistem latihan kognitif dalam diagnosis dan pencegahan penyakit Alzheimer.

DR. WAN AZLINA WAN AB. KARIM GHANI

18/22. Profesor Ir. Dr. Wan Azlina Wan Ab. Karim Ghani

Kajian Dr. Wan Azlina Wan Ab. Karim Ghani menfokuskan penggunaan biomas sebagai alternatif tenaga yang boleh diperbaharui untuk mendorong pertumbuhan ekonomi, serta memelihara iklim dunia. Kini, beliau aktif dalam membangunkan piawaian untuk penggunaan biomas sebagai bahan api pepejal di Malaysia yang dapat menjadi nilai tambah untuk pengurusan sumber biomas secara lestari.

DR. WONG TIN WU

19/22. Profesor Dr. Wong Tin Wu

Dr. Wong Tin Wu memberi fokus kepada bidang perubatan kepersisan (precision medicine) khusus untuk rawatan kanser, diabetes dan penyakit berjangkit. Beliau menginovasi perubatan menggunakan nanoteknologi dan sains zarah melalui penggunaan ubat yang dikhususkan kepada individu, sekaligus menjadikannya rawatan yang berkesan untuk pesakit.

DR. ZAHRILADHA ZAKARIA

20/22. Profesor Dr. Zahriladha Zakaria

Didorong oleh minat terhadap tenaga gelombang mikro, Dr. Zahriladha Zakaria menubuhkan kumpulan penyelidikan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang memfokuskan kepada teknologi kejuruteraan radio dan gelombang mikro. Hasil usaha ini, beliau dan pasukan telah berjaya membangunkan teknologi yang digunakan dalam komunikasi dan penderiaan tanpa wayar yang diiktiraf dunia.

R. ZAINOVIA LOCKMAN

21/22. Profesor Dr. Zainovia Lockman

Dr. Zainovia Lockman merupakan seorang sainstis bahan (Material Scientist) yang sangat suka berkongsi ilmu pengetahuan. Sebagai Pengerusi bersama Badan Bertindak ASM, beliau turut membantu dalam pembangunan Dasar dan Strategi Nanoteknologi Nasional 2021-2030 yang menyentuh kepada keselamatan dan peraturan berkaitan nanoteknologi.

DR. ZUHAILAWATI HUSSAIN

22/22. Profesor Ir. Ts. Dr. Zuhailawati Hussain

Sebagai seorang profesor dalam bidang metalurgi, Dr. Zuhailawati Hussain telah banyak menyumbang dalam kemajuan implan ortopedik dan pembangunan logam baharu. Penyelidikan beliau membolehkan penawaran perkhidmatan perubatan berprestasi tinggi kepada masyarakat dan menjadikan industri pembuatan logam lebih ekonomi dan lestari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya