PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri digesa menjadi lebih berani dalam membawa transformasi kepada negara ini terutama bagi sektor pendidikan.
Dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan ahli Parlimen pembangkang lain sedia memberikan sokongan sekiranya Perdana Menteri komited memperbaiki sistem pendidikan bagi mengelakkan Lost Generation.
“Kita kehilangan hampir satu generasi sekarang. Walaupun dua tahun ada pembelajaran, ada yang dalam talian dan secara bersemuka bertukar-tukar dan kita tidak boleh nafikan prestasi pendidikan di negara kita memang rendah.
“Kalau betul memerlukan transformasi, adakan transformasi dan belanjalah secukupnya untuk betul-betul jamin generasi ini diberikan perhatian jauh lebih dari sebelumnya.
“Perdana menteri kini berada dalam kedudukan itu jadi tidak perlu takut untuk membawa perubahan ini dan kita akan beri sokongan. Tidak perlu beri upah atau perlunya melantik sesiapa untuk jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)” katanya di Dewan Rakyat.
Tambah Anwar, tiada pihak yang boleh menidakkan keruncingan permasalahan pendidikan dalam negara melainkan mereka yang tidak endah dan berterusan menafikan kebenaran itu.
“Kalau ada yang menidakkan perkara itu, mereka itu sedang menafikan atau ¬in the state of denial melainkan anak-anak orang kaya di bandar namun anak-anak lain di sekolah semua parah,” kata Anwar di Dewan Rakyat.
“Tidak perlu pun bagi ketua pembangkang keistimewaan bertaraf menteri, tiada masalah kerana saya pun tidak pernah minta. Apa yang perlu diutamakan ialah perdana menteri perlu mengambil tindakan berani untuk mengadakan transformasi,”jelasnya. -UTUSAN ONLINE










