DUNGUN: Seorang buruh berdepan detik cemas apabila motosikalnya terlanggar seekor tapir melintas di Kilometer 90, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Al Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 11.07 malam, Muhammad Zairey Abd. Razak, 20, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC hanya cedera ringan manakala tapir betina itu mati.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian penunggang motosikal itu dalam perjalanan ke Bukit Besi dari AMBS.
“Setibanya di lokasi, seekor tapir tiba-tiba melintas ke jalan dari arah hutan berhampiran.
“Penunggang motosikal gagal mengelak lalu melanggar tapir dan impak kemalangan itu menyebabkan mangsa luka di belakang badan dan kepala,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Baharudin berkata, Muhammad Zairey kemudian dibawa ke Hospital Dungun di sini untuk menerima rawatan.- UTUSAN