BALING: Seorang suri rumah terkejut apabila terserempak seekor ular tedung yang sedang memanggung kepala di hadapan pintu rumahnya di Kampung Padang Ketemba, Kuala Pegang di sini semalam.
Nurul Ismaizzati Mat Nayan, 25, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia hendak keluar rumah pergi ke kedai untuk membeli burger pada pukul 8.30 malam.
Katanya, ular tedung selar yang berada hadapan pintu rumahnya itu dianggarkan sepanjang empat meter dan seberat tujuh kilogram.
“Saya terkejut apabila sebaik sahaja membuka pintu hadapan rumah, terpacul seekor ular tedung selar yang besar dan panjang sedang memanggung kepalanya.
“Nasib baik ada pintu jeriji besi dan saya tidak terus keluar, jika tidak, tentu saya terlanggar ular itu atau ular itu masuk ke dalam rumah” kata Nurul Ismaizzati ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Ketemba, Kuala Pegang di sini hari ini.
Menurutnya lagi, dia terus menjerit lalu memanggil suaminya, Mohd. Azam Aznen, 25, dan dalam keadaan samar-samar itu sempat melihat ular itu menjalar ke belakang rumah dan bersembunyi di bawah rak tempat menyimpan barang.
“Risau jika ular itu kembali mengancam keluarga, suami saya kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menangkap ular tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim, berkata, anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada pukul 10.32 malam.
“Anggota kami mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk menangkap ular tedung selar tersebut dengan peralatan khas.” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










