KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan dibuat mengikut Perkara 40 (2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan selepas beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Seri Paduka juga berpuas hati dengan kepercayaan diberikan kepada Ismail Sabri setelah menerima menghadap 114 ahli Dewan Rakyat yang menyatakan sokongan dengan kerelaan mereka sendiri, tanpa sebarang paksaan dan jumlah itu merupakan majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.
“Seperti yang berlaku pada tahun 2020 yang lalu ekoran perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia ketujuh, amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri yang kesembilan telah beta laksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan,” titah Seri Paduka dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14 2021 di sini semalam.
Al-Sultan Abdullah bertitah, menerusi surat-surat akuan tersebut, Seri Paduka mendapati seramai 114 ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan Ismail Sabri Yaakob. Titah Seri Paduka itu sekali gus mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tanpa perlu undi percaya.
Seri Paduka juga menasihatkan semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada sebarang apa jua permasalahan.
Titah Al-Sultan Abdullah, kematangan tersebut amat didambakan oleh seluruh rakyat dan Seri Paduka kemudian mengambil nasihat pepatah Melayu lama iaitu ‘biduk lalu, kiambang bertaut’ serta memberi peringatan iaitu ‘yang menang tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua’.
“Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha-usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama dwi partisan antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara.
“Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat sahajalah, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong berharap kerajaan baharu hendaklah segera melipatgandakan usaha memerangi Covid-19 dan membawa negara serta rakyat keluar daripada ancaman pandemik serta melakukan amalan budaya kerja berprestasi tinggi serta tumpuan mencapai sasaran jangka pendek dan panjang.
Seri Paduka juga menasihatkan semua ahli Parlimen agar tidak sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu dan menyeru untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa sinar kepada rakyat dan tanah air ini.
Titah Seri Paduka, bahawa baginda menerima ratusan pucuk surat daripada rakyat yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat dikecapi segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.
“Setahun lebih berlalu, negara masih belum bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19. Negara dan rakyat beta telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.
“Terlalu ramai rakyat beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini. Terlalu ramai juga rakyat beta yang telah kehilangan sumber rezeki,” titah Seri Paduka.
Di samping itu, baginda menyeru kepada ahli-ahli parlimen dan semua agensi kerajaan berkaitan untuk proaktif dengan turun pandang bagi meninjau dan menyelami isu-isu rakyat secara dekat serta memantau pencapaian program yang telah diumumkan.
Seri Paduka juga menyeru agar sebarang bibit pertelingkahan hendaklah segera dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu. – UTUSAN










