Sekolah dibuka 3 Oktober - Utusan Malaysia

Sekolah dibuka 3 Oktober

Sistem KBAT yang dilaksanakan di sekolah dilihat menekan murid sehingga ada yang hilang minat belajar. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sesi pembukaan sekolah secara fizikal mulai 3 Oktober ini hanya akan dilaksanakan di negeri-negeri di bawah Fasa Ketiga dan Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan kapasiti kehadiran murid 50 peratus bagi setiap sesi.

Bagi negeri-negeri di bawah Fasa Pertama dan Kedua PPN, pelajar akan meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kecuali bagi pelajar yang akan menghadapi peperiksaan utama.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md Jidin berkata, bagi persekolahan dibuka mengikut sistem penggiliran, murid dalam satu kelas dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu murid Kumpulan A akan berada di sekolah pada minggu pertama manakala murid Kumpulan B akan mengikuti PdPR.

Menurutnya, pembukaan sesi persekolahan mengikut kaedah penggiliran bermula 3 Oktober hingga 10 Disember melibatkan sekolah kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala sekolah Kumpulan B (di negeri-negeri selebihnya) adalah bermula 4 hingga 11 Disember.

Berhubung kaedah penggiliran itu katanya, sebagai contoh, jika satu kelas mempunyai jumlah 36 murid, maka ia dipecahkan kepada dua kumpulan yang mana kumpulan A berjumlah 18 orang akan hadir sekolah secara bersemuka manakala murid Kumpulan B berada di rumah mengikuti PdPR.

“Ketetapan ini dibuat setelah melihat sekolah ditutup sekian lama, murid-murid telah lama renggang dengan sekolah dalam tempoh panjang, kita menetapkan sebaiknya untuk membawa anak ini ke sekolah tetapi dalam keadaan selamat dengan cara membahagikan dalam dua kumpulan.

“PdPR kali ini juga berbeza kerana setiap guru mengajar di sekolah dan ada murid di rumah. Guru-guru akan memberikan garis panduan dan bahan pengajaran kepada murid-murid ketika mengikuti pengajaran di rumah atau boleh menggunakan pelbagai sumber lain termasuk Didik TV,” kata beliau pada sidang khas pengoperasian sekolah di sini semalam.

Mohd. Radzi berkata, kehadiran ke sekolah tanpa penggiliran melibatkan enam kumpulan murid iaitu Murid Berkeperluan Khas (MBK); murid tingkatan 6 semester 2 dan International Baccalaureate Diploma (IBD) tahun 2; murid di sekolah asrama sepenuhnya; murid kelas peperiksaan antarabangsa, murid prasekolah/tadika swasta /pusat perkembangan minda dan sekolah kurang murid.

Beliau menjelaskan, bagi sekolah yang berada di negeri fasa pertama dan fasa kedua, semua murid sekolah rendah dan menengah terus menjalani sesi PdPR kecuali enam kumpulan murid yang dinyatakan perlu hadir ke sekolah tanpa penggiliran di samping pelajar program pra universiti semester 3 di sekolah sukan Malaysia.

Negeri-negeri fasa ketiga, kata beliau, bagi sekolah rendah, selain enam kumpulan murid itu, hanya murid prasekolah atau tadika swasta boleh hadir tanpa penggiliran, manakala bagi sekolah menengah pula ia melibatkan tambahan murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian/swasta yang hadir secara penggiliran.

Beliau memberitahu, pembukaan sekolah rendah bagi negeri-negeri fasa keempat pula ialah melibatkan murid tahap 1 (tahun 1, 2 dan 3) yang hadir secara penggiliran manakala tahap 2 (tahun 4, 5 dan 6) masih mengikuti PdPR yang hanya bermula 17/18 Oktober hingga 31 Oktober/1 November.

“Semua murid sekolah rendah di fasa eempat boleh hadir ke sekolah bermula 31 Oktober/1 November hingga 10 Disember/11 Disember.

“Bagi sekolah menengah pula, ia melibatkan tambahan murid kelas peperiksaan awam, Tingkatan 3 dan 4 manakala murid kelas peralihan, tingkatan 1 dan 2 masih mengikuti PdPR bagi tempoh bermula 17/18 Oktober hingga 31 Oktober/1 November,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Radzi berkata, langkah diambil kementerian setelah mengadakan pelbagai libat urus dengan semua pihak berkepentingan memandangkan sistem pendidikan berdepan cabaran pandemik selama dua tahun.

Namun katanya, pemulihan negara dilihat ada sinar di hujung terowong dan yakin boleh bergerak ke hadapan dengan program vaksinasi sekali gus tahun 2022 mampu membawa murid balik dengan tahap penguasaan terbaik melalui pendekatan bersesuaian bagi memastikan mereka cukup bersedia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN