PETALING JAYA: “Saya nak terus berniaga, nak buka kedai untuk terus bantu umi.”
Itu kata Siti Nur Azizah Syafriadi yang kehilangan tangan kanannya apabila terpaksa dipotong susulan kejadian samun bermotosikal di Jalan Kuching pada 26 Ogos lalu.
Biarpun keadaan remaja berusia 17 tahun tersebut tidak sempurna lagi, namun ia tidak menghalang semangat Siti Nur Azizah untuk berniaga bagi membantu meringankan beban ibunya setelah ayahnya meninggal dunia, tiga tahun lalu.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, dia merancang untuk membuka kedai pakaian dengan sumbangan orang ramai.
“Sebelum ini saya bantu umi jual jersi dan baju-baju bundle.
“Walaupun keadaan macam ini, saya akan terus berniaga untuk ringankan beban umi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin di sini semalam.
BEH Eng Lain melawat Siti Nur Azizah Syafriadi yang terpaksa dipotong tangan akibat kejadian samun motosikal di Jalan Kuching, 26 Ogos lalu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai menyampaikan sumbangan kepada Siti Nur Azizah dan keluarga.
Ketika ditanya mengenai kejadian yang menimpa dirinya, Siti Nur Azizah bagaimanapun tidak dapat mengingati apa-apa.
Jelasnya, sebelum itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar baju di Keramat.
“Kemudian, sedar-sedar saya di atas katil di hospital dan dimaklumkan koma selama empat hari,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Roslinawati Ya, 39, berkata, dia reda dan perlu kuat dengan apa yang menimpa anaknya.
Bagaimanapun, menurut peniaga dalam talian itu, dia berharap pelaku dapat diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan.
“Kakak (Siti Nur Azizah) memang kuat, sehingga hari ini dia tidak menangis langsung.
“Azizah sudah tidak bersekolah dan dialah yang banyak membantu saya menjalankan perniagaan dalam talian untuk menyara keluarga.
“Dia ada beritahu nak buka kedai untuk berniaga baju-baju kerana keadaannya yang tidak boleh nak bergerak seperti dulu. Selain itu untuk bantu orang-orang yang senasib dengannya,” ujarnya. – UTUSAN










