Rugi RM170,000 barang kemas disamun bekas jiran - Utusan Malaysia

Rugi RM170,000 barang kemas disamun bekas jiran

SHAFIEN Mamat menunjukkan antara barang kemas milik warga emas yang disamun bekas jirannya sebelum berjaya ditemukan dalam serbuan polis di empat lokasi di Kota Bharu dan Tumpat semalam. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang suri rumah kerugian RM170,000 apabila lehernya diacu parang sebelum barang kemasnya diragut  dalam kejadian di Kampung Berangan di sini semalam.

Barang kemas yang  dilarikan ialah seutas rantai leher (rantai gajah) bernilai RM90,000, gelang tangan emas (kait tiga) bernilai RM20,000 dan gelang tangan emas (kait dua) bernilai RM60,000.

 Lebih `mendukacitakan’ mangsa berusia 63 tahun itu ialah apabila salah seorang daripada suspek itu adalah bekas jirannya yang pernah menyewa di sebelah rumahnya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku pukul 10 pagi ketika mangsa yang tinggal berseorangan didatangi dua penunggang motosikal yang memakai topi keledar dengan masing-masing memegang  parang. 

Menurut beliau, selepas menceroboh masuk rumah mangsa, salah seorang suspek menekup mulut dan mengacu parang di lehernya manakala seorang lagi merampas semua barang kemas dipakai sebelum melarikan diri.

Kata beliau, polis yang melakukan siasatan membuat serbuan di empat lokasi di Tumpat dan Kota Bharu.

“Hasil serbuan polis menahan empat lelaki berumur  35 hingga 41 tahun sebelum siasatan mendapati salah seorang penyamun adalah bekas jiran mangsa.

“Suspek dipercayai melakukan pengintipan sepanjang tinggal di rumah tersebut sebelum menyamun warga emas  itu,” katanya  selepas majlis perasmian Balai Polis Palekbang, di sini hari ini.

Shafien berkata, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Melalui serbuan itu, kata  beliau, pihaknya merampas enam telefon bimbit, tiga resit transaksi pindahan wang, sekeping kad bank dan dua utas gelas emas dipercayai milik suri rumah tersebut.

Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM80,000 dan keempat-empat suspek direman bermula hari ini hingga 19 September bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya