Permukaan bumi di Gunung Jerai berisiko bencana - Utusan Malaysia

Permukaan bumi di Gunung Jerai berisiko bencana

MOHAMMAD Hamdan Wahid (tengah) menolak kerusi roda dinaiki Abdullah Morad di Jalan Putra, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keadaan permukaan bumi di Gunung Jerai dipercayai masih berisiko tinggi berlaku bencana sekiranya terdapat limpahan air melampau apabila terdapat hujan lebat di kawasan gunung tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, limpahan air tersebut dikhuatiri akan membuatkan struktur permukaan bumi di gunung tersebut menjadi lemah.

Justeru, katanya, pihaknya berpandangan perlu wujud sistem amaran bagi membolehkan penduduk setempat menjadi lebih peka terhadap segala kemungkinan yang mungkin akan berlaku.

“Kita tidak minta bencana itu berlaku kali kedua, tetapi, kami berpandangan perlu ada sistem amaran di kawasan tersebut. Sistem itu boleh mengesan gegaran dan kemudiannya memberi amaran kepada penduduk setempat mengenai kemungkinan berlaku bencana.

“Namun, apa yang paling penting, komuniti setempat juga perlu tahu apa yang mesti dilakukan selepas menerima amaran itu. Kita tak mahu nanti apabila sistem itu wujud dan memberi amaran, tiba-tiba orang awam tidak tahu apa yang perlu dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib melawat mangsa tragedi kepala air di Gunung Jerai, Abdullah Morad, 58, di Jalan Putra di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya dalam masa sama turut merancang untuk mewujudkan pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) di kawasan Gunung Jerai selepas ini.

“Kumpulan ini mungkin boleh ditubuhkan dengan melibatkan malim-malim gunung di kawasan terlibat. Mereka ini memiliki kepakaran mengenai keadaan muka bumi di situ dan boleh bertindak secepat mungkin tanpa perlu menanti kehadiran bomba jika berlaku kecemasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya dalam masa sama akan mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi untuk mengadakan latihan bagi penduduk kampung dan komuniti untuk berdepan bencana.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kita bagi meminimumkan jumlah mangsa yang mungkin terjejas.

“Sebelum ini pun, memang kita ada buat kursus pengurusan bencana komuniti melibatkan pemimpin setempat mengenai apa yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas bencana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN