IPOH: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan, minggu lalu.
Tertuduh, Nursahidah Amran, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa telah menghentak dan menyebabkan kecederaan di kepala seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan, dengan pengetahuan tertuduh bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian mangsa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan 2 dalam daerah Kinta di antara pukul 7 pagi hingga 2.45 petang, 22 September 2021.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, tertuduh juga tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan iaitu menganiaya mangsa hingga menyebabkan kecederaan fizikal pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman dan Afiqa Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Shahrul Nizam Mohd. Rabi dan Mohamad Salihen Mastor.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh setelah mengambil kira kesalahan serius yang dilakukannya.
Shahrul Nizam dan Mohamad Salihen bagaimanapun memohon jaminan diberikan atas alasan ia kesalahan yang boleh dijamin selain tertuduh seorang wanita dan dalam keadaan darurat kesihatan di penjara memungkinkan tertuduh terdedah kepada wabak Covid-19.
Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Norita membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan keluarga sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan 30 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Menerusi laporan media Jumaat lalu, seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepala retak dipercayai didera pengasuhnya.
Kejadian menimpa bayi itu disedari Rabu lalu selepas bapa mangsa dihubungi pengasuh yang meminta untuk datang semula mengambil anaknya kerana dikatakan terjatuh dari alat bantu berjalan atau ‘baby walker’.
Bagaimanapun, tangkapan terhadap wanita itu pada keesokkan hari membongkar tindakan kejam suspek apabila mengaku menghempas kepala bayi itu sebanyak dua kali ke lantai kerana mangsa tidak berhenti menangis.
Perbuatan itu hanya dihentikan suspek setelah menyedari mangsa tidak sedarkan diri. – UTUSAN










