Pelajar perlu banyak membaca untuk mampu menulis

Pelajar perlu banyak membaca untuk mampu menulis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan peningkatan pencapaian dalam 63 mata pelajaran, manakala 29 lagi merekodkan penurunan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad dilaporkan berkata, berdasarkan analisis dan perbandingan dengan keputusan 2024, mata pelajaran Bahasa Melayu menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.13 mata.

Perkembangan ini memang membimbangkan kerana menunjukkan trend tidak positif terhadap usaha memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan, serta usaha menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, khususnya generasi muda.

Memanglah ada guru tuisyen dan pusat tuisyen yang mengajar teknik mendapat markah tinggi dalam peperiksaan. Biasanya teknik itu mementingkan hafalan tanpa pemahaman dan penghayatan bahasa kebangsaan.

Pelajar hanya menghafal kerangka atau format karangan, menghafal frasa, peribahasa, dan perkataan bombastik tetapi tidak sebenarnya menguasai bahasa kebangsaan secara holistik dan mendalam.

Sesungguhnya, kejayaan dalam peperiksaan boleh dijadikan ukuran mutlak terhadap penguasaan bahasa seseorang individu.

Dalam konteks keputusan Sijil SPM 2025 yang memperlihatkan penurunan prestasi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, saya melihat isu ini sebagai simptom kepada masalah yang lebih besar, iaitu pendekatan pembelajaran bahasa yang terlalu berorientasikan peperiksaan dan terlalu bergantung pada hafalan semata-mata.

Sebaliknya, pelajar perlu dipupuk minat membaca akhbar, majalah, buku cerita dan buku bukan fiksyen bahasa kebangsaan jika kita mahu mereka benar-benar menghayati, memahami, mencintai, menguasai dan menghargai bahasa kebangsaan.

Pembacaan bahan yang pelbagai membantu memperkayakan kosa kata secara semula jadi dan berterusan. 

Saya sering menegaskan, bahasa tidak boleh dikuasai melalui senarai perkataan yang dihafal secara paksa.

Apabila kanak-kanak dan remaja membaca akhbar dan majalah, mereka terdedah kepada penggunaan bahasa dalam pelbagai konteks semasa, termasuk isu sosial, politik, ekonomi dan budaya.

Buku cerita pula memperkenalkan bahasa dalam bentuk naratif yang hidup, manakala buku bukan fiksyen memperluas pemahaman terhadap istilah khusus dalam pelbagai bidang.

Melalui pendedahan ini, pelajar bukan sahaja mengenal perkataan baharu tetapi juga memahami cara penggunaan secara tepat.

Sebagai contoh, seorang pelajar yang rajin membaca laporan berita akan lebih cekap menggunakan istilah seperti ‘implikasi’, ‘inisiatif’ dan ‘signifikan’ dalam karangan, berbanding pelajar yang sekadar menghafaz tanpa memahami makna sebenar.

Pembacaan turut membantu membina kepekaan terhadap struktur ayat dan gaya bahasa yang betul. 

Saya sering menemui pelajar yang mampu menghafal peribahasa dan frasa bombastik tetapi gagal membina ayat yang gramatis. 

Masalah ini berpunca daripada kurangnya pendedahan kepada ayat yang baik dan betul dalam konteks sebenar. Dengan membaca bahan berkualiti, pelajar akan secara tidak langsung menyerap pola ayat yang tepat, penggunaan tanda baca yang betul serta variasi gaya penulisan.

Misalnya, pembacaan cerpen dan novel membolehkan pelajar memahami bagaimana dialog ditulis, bagaimana emosi digambarkan dan bagaimana peralihan idea dilakukan dengan lancar. Maka, mereka mampu menghasilkan karangan yang lebih matang, bukan sekadar menyalin format yang dihafal.

Minat membaca juga membina keupayaan berfikir secara kritis dan analitis, suatu kepakaran yang amat penting dalam menjawab soalan peperiksaan.

Soalan peperiksaan, khususnya bahagian pemahaman dan karangan, menuntut pelajar untuk berfikir, bukan sekadar mengingat. Apabila pelajar membaca bahan bukan fiksyen seperti rencana dan esei, mereka belajar menilai hujah, memahami sudut pandang yang berbeza dan boleh mengaitkan maklumat dengan pengalaman sendiri.

Sebagai contoh, seorang pelajar yang membaca rencana tentang alam sekitar akan lebih mudah mengembangkan idea dalam karangan berkaitan pencemaran, lengkap dengan hujah yang bernas dan contoh yang relevan.

Minat membaca berupaya menanam rasa cinta dan penghargaan terhadap bahasa kebangsaan. Saya percaya seseorang hanya akan berusaha menguasai sesuatu bahasa jika dia mencintainya.

Malangnya, pendekatan hafalan yang diamalkan di sesetengah pusat tuisyen menjadikan bahasa Melayu sebagai subjek yang membosankan dan mekanikal.

Sebaliknya, berdasarkan pengalaman Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) sejak 1999, apabila pelajar membaca karya sastera seperti cerpen dan cerita rakyat, mereka berpeluang menikmati keindahan bahasa, kehalusan ungkapan dan kekayaan budaya yang terkandung dalam bahasa tersebut.

Pengalaman ini mampu menimbulkan rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan. Sebagai contoh, pembacaan karya sastera kebangsaan yang menggambarkan kehidupan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia boleh meningkatkan kesedaran tentang peranan bahasa sebagai alat perpaduan.

Pembacaan yang konsisten pula membantu pelajar menguasai kemahiran menulis dengan lebih yakin dan berkesan. 

Saya sering mengingatkan peserta program Kavyan, menulis adalah lanjutan daripada minat membaca.

Pelajar yang banyak membaca akan mempunyai idea yang lebih luas, contoh yang lebih pelbagai dan gaya penulisan lebih mantap. Mereka tidak perlu bergantung pada kerangka karangan yang kaku kerana mereka mampu mengembangkan isi secara spontan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh melalui pembacaan.

 

PELAJAR perlu dipupuk minat membaca jika mahu menghayati, memahami, mencintai, menguasai dan menghargai bahasa kebangsaan.

 

PUPUK MINAT MEMBACA

Kanak-kanak dan remaja yang didedahkan kepada budaya membaca sejak awal pasti menunjukkan peningkatan ketara dalam penguasaan bahasa. Mereka bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan tetapi juga mampu berkomunikasi dengan lebih berkesan dalam kehidupan seharian.

Hal ini membuktikan, usaha memupuk minat membaca bukan sekadar strategi akademik tetapi juga pelaburan jangka panjang dalam pembinaan jati diri dan perpaduan nasional.

Sesungguhnya, masalah penurunan prestasi mata pelajaran bahasa Melayu SPM tidak boleh diselesaikan dengan menambah lebih banyak teknik hafalan atau latihan peperiksaan semata-mata.

Sebaliknya, kita perlu kembali kepada asas, iaitu memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Dengan membaca akhbar, majalah, buku cerita, dan buku bukan fiksyen secara konsisten, mereka secara semula jadi mampu menghayati, memahami, mencintai, menguasai, menghargai dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik.

Apabila impian ini tercapai, kecemerlangan dalam peperiksaan bukan lagi menjadi matlamat utama, sebaliknya hasil positif sampingan yang datang secara semula jadi. –UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN