Penarafan global, UTM melangkahke hadapan dengan adab, ilmu, inovasi

Penarafan global, UTM melangkah ke hadapan dengan adab, ilmu, inovasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat pencapaian membanggakan dalam QS World University Rankings by Subject 2026 dengan pengiktirafan dalam tujuh bidang utama, termasuk kedudukan cemerlang dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi yang menempatkan UTM dalam kelompok Top 100 dunia, merupakan detik penuh makna dalam perjalanan panjang universiti ini.

Lebih membanggakan, pencapaian ini disokong kedudukan UTM dalam QS World University Rankings 2026 di tangga ke-153 dunia tahun lalu, yang merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah universiti.

Pencapaian ini bukan sahaja meningkatkan kedudukan UTM di pentas global, malah mengukuhkan keyakinan universiti ini berada pada landasan yang tepat dalam melaksanakan agenda transformasinya.

Namun, kita harus memahami kecemerlangan universiti dinilai dari pelbagai sudut oleh pelbagai pihak di peringkat global, melalui kerangka seperti QS World University Rankings (QS WUR), Times Higher Education (THE) World University Rankings dan pelbagai sistem penarafan lain.

Indikator seperti reputasi akademik, reputasi majikan, impak penyelidikan, sitasi, jaringan antarabangsa serta kelestarian menjadi ukuran utama.

Pada peringkat negara, kecemerlangan universiti diukur melalui instrumen seperti MyRA dan SETARA bagi memastikan universiti memenuhi keperluan dan piawaian negara, khasnya kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

Kesemua ini mencerminkan peranan universiti sebagai pusat rujukan ilmu yang berwibawa, relevan dan dipercayai masyarakat dunia.

Meskipun wujud pandangan kritis sesetengah pihak terhadap amalan penarafan global, namun UTM berpandangan penarafan ini tidak perlu dijadikan kayu ukur mutlak kecemerlangan universiti, sebaliknya menjadi indikator berguna untuk memperkasa kecemerlangan.

Hal yang lebih mustahak adalah tanggungjawab keilmuan oleh ahli akademik, staf pentadbiran dan mahasiswa untuk terus menyuburkan iklim kesarjanaan yang segar dan meriah. Ini bertujuan membina akal, jiwa dan tindakan manusia yang berpaksikan kesejahteraan dan nilai kemanusiaan, sejajar aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Dalam konteks RPTM, tugas utama universiti tetap kekal jelas, melahirkan bakat yang mempunyai keupayaan tinggi sebagai pembina negara dipacu matlamat.

Di UTM, matlamat ini dilaksanakan bukan sekadar melalui kecemerlangan akademik semata-mata tetapi melalui pembentukan mahasiswa yang beradab.

Mahasiswa yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dari segi intelektual tetapi juga memiliki nilai, etika, integriti dan tanggungjawab sosial yang tinggi. Inilah asas kepada pembinaan insan seimbang yang mampu memimpin perubahan dalam masyarakat dan industri, serta menjadi ejen pembangunan negara.

UTM juga terus meneroka pelbagai bidang ilmu dengan tujuan utama untuk memanfaatkan masyarakat. Penyelidikan dan inovasi yang dilaksanakan disasarkan untuk menyelesaikan masalah sebenar, daripada pembangunan teknologi mampan, kejuruteraan termaju, kecerdasan buatan (AI), sehingga inovasi sosial yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Dalam hal ini, universiti bukan sahaja membangunkan ilmu tetapi turut membina industri, memperkukuh daya saing ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan negara secara menyeluruh.

Perjalanan ini merupakan kesinambungan wawasan tokoh-tokoh terdahulu.

Naib Canselor pertama UTM, Tan Sri Ainuddin Wahid, menegaskan universiti adalah institusi pembina bangsa, yang bertanggungjawab melahirkan insan berilmu dan berakhlak.

Perjalanan ini diteruskan Naib Canselor ke-2 yang menekankan budaya berdisiplin dan jati diri, diikuti Naib Canselor ke-3 yang memperkasa hubungan universiti dengan industri serta pemantapan budaya korporat. Naib Canselor ke-4 pula membawa gagasan Universiti Kelas Dunia.

Pada era Naib Canselor ke-5, UTM melaksanakan transformasi menjadi sebuah universiti penyelidikan. Naib Canselor ke-6 pula menekankan agenda kemampanan universiti.

Pada era Naib Canselor ke-7, UTM menekankan lonjakan kejayaan sebagai sebuah universiti penyelidikan melalui penyelidikan berimpak tinggi dan jaringan kerjasama global.

Sementara Naib Canselor ke-8, meneruskan perjuangan dengan pendekatan lebih tersusun dan berstrategi melalui pelan strategik UTM ASCEND 2030 yang dipacu perubahan struktural.

UTM berusaha untuk mengungguli agenda penyelesaian cabaran dunia semasa dengan menginovasi penyelesaian lestari yang memberi impak kepada dunia.

Dalam dunia yang semakin kompleks, universiti perlu berperanan sebagai peneraju dalam menghasilkan penyelesaian yang bukan sahaja canggih teknologi tetapi mampan daripada segi sosial, ekonomi dan alam sekitar. Pendekatan ini selari dengan aspirasi global terhadap pembangunan mampan serta keperluan untuk memastikan kemajuan tidak mengorbankan kesejahteraan generasi akan datang.

Justeru, UTM menggagaskan tujuh bidang fokus masa hadapan iaitu Asas Sains, Kejuruteraan dan Teknologi, Kejuruteraan Metaverse dan Teknologi Termaju, AI, Pendigitalan dan Teknologi Berpusatkan Manusia, Kesihatan Planet dan Perubahan Iklim, Teknologi Keterjaminan Makanan dan Air, Persekitaran Alam Bina Lestari serta Sains Kognitifikasi.

 

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) terus melangkah sebagai universiti yang menyumbang kepada kesejahteraan sejagat, selaras falsafah institusi, -UTM

 

Berbalik soal penarafan, pencapaian dalam QS World University Rankings by Subject 2026 harus dilihat sebagai manifestasi usaha kolektif seluruh warga universiti, akademia, penyelidik, pelajar, pentadbir serta rakan industri.

Ini khususnya untuk subjek Kejuruteraan dan Teknologi, UTM melonjak 16 anak tangga, menjadikan UTM pada kedudukan 86 berbanding 102 tahun lalu, sekali gus tergolong dalam kedudukan 100 terbaik di dunia.

Bidang lain yang tergolong dalam 100 terbaik dunia ialah Kejuruteraan Petroleum (36), Senibina dan Alam Bina (50), Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (77), Kejuruteraan Kimia (83), Kejuruteraan Mineral dan Perlombongan (51-100), serta Kejuruteraan Awam dan Struktural (51-100).

Daripada senarai itu dapat dilihat dua subjek tergolong pada kedudukan 50 terbaik dunia. Pencapaian gemilang ini mencerminkan keupayaan UTM untuk berdiri setara dengan universiti terbaik dunia, serta komitmen berterusan untuk memperkukuh reputasi akademik, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menjadi pusat rujukan ilmu yang dihormati.

Lebih penting, pencapaian ini turut membuktikan universiti berperanan secara langsung dalam membangunkan masyarakat dan membina industri.

Graduan yang dilahirkan bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran kerja tetapi turut menjadi pencetus inovasi dan pencipta peluang baharu dalam ekonomi.

Dalam masa sama, penyelidikan yang dihasilkan menyumbang kepada penyelesaian cabaran nasional dan global, daripada isu tenaga, perubahan iklim, sehingga kepada transformasi digital.

UTM komited meneruskan usaha menyambung legasi kepimpinan terdahulu dengan matlamat yang jelas, bagi meletakkan UTM dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia menjelang 2030.

Usaha ini memerlukan kesepaduan seluruh warga universiti, keberanian untuk melakukan perubahan struktural serta komitmen berterusan terhadap kecemerlangan.

Akhirnya, kejayaan ini harus difahami dalam kerangka yang lebih besar, bahawa universiti bukan institusi berpaksikan penarafan semata tetapi institusi pembina peradaban.

Dengan adab sebagai teras, ilmu sebagai kekuatan dan inovasi sebagai pemacu, UTM akan terus melangkah ke hadapan sebagai universiti yang bukan sahaja tersohor di dunia tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan sejagat, selaras dengan falsafah institusi. –UTUSAN

PROFESOR Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim ialah Naib Canselor ke-8, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×