PERANG di Asia Barat yang masih berlarutan bukan sahaja menjejaskan keadaan ekonomi negara-negara yang terlibat malah turut menggoncang kestabilan ekonomi dunia secara keseluruhannya.
Hampir kesemua negara di dunia ini sedang merasa tempiasnya.
Gangguan bekalan minyak daripada negara-negara pengeluar di rantau teluk menyebabkan harga petroleum dunia melambung tinggi. Akibatnya, hari ini dunia terpaksa berhadapan krisis tenaga yang serius.
Keadaan semakin parah apabila laluan kapal melalui Selat Hormuz ditutup kepada kebanyakan negara.
Awal minggu ini, ketika mesyuarat bersama rakan-rakan dalam pergerakan belia antarabangsa, saya mendengar banyak rintihan daripada sahabat-sahabat dari beberapa negara luar tentang tekanan yang sedang dihadapi mereka.
Mereka bukan sahaja menghadapi kesukaran kerana terpaksa membayar harga minyak yang meningkat tinggi tetapi lebih sulit lagi perlu beratur panjang untuk membeli minyak dan hanya dapat membelinya dalam jumlah sedikit seperti ditetapkan.
Banyak stesen minyak terpaksa ditutup kerana kehabisan bekalan di beberapa buah negara, seperti Filipina, Thailand, Australia, Vietnam, India dan Bangladesh.
Maka, negara-negara yang mempunyai jumlah simpanan minyak yang rendah terpaksa mencatu penggunaan bahan api sebagai langkah berjaga-jaga.
Thailand mengambil langkah tambahan seperti mengurangkan penggunaan penghawa dingin. Manakala Filipina pula mengumumkan darurat tenaga setelah banyak sektor di negara itu teruk terkesan akibat krisis minyak yang belum diketahui bila akan berakhir.
Mendengar keadaan yang sukar di Filipina daripada sahabat karib yang tinggal di Manila, saya merasa amat bersyukur kerana keadaan di Malaysia sangat baik berbanding banyak negara lain.
Hari ini, rakyat Malaysia masih dapat mengamalkan gaya hidup seperti sebelumnya. Keadaan jalan raya di ibu kota dan bandar-bandar besar masih sesak dengan pergerakan kenderaan yang bersimpang siur, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Rakyat selesa memandu kereta ke mana-mana sahaja kerana kita masih menikmati Budi Madani 95 (RON95). Walaupun sudah ramai yang mula menggunakan kuota dengan lebih berhati-hati, namun secara umumnya, kehidupan kita masih berjalan seperti biasa tanpa catuan bahan api.
Justeru, kita harus benar-benar bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan. Jangan sampai kufur nikmat dan melepaskan apa yang sedang digenggam kerana sifat alpa dan mementingkan diri sendiri.
Walaupun bekalan minyak masih belum dicatu tetapi atas rasa tanggungjawab dan sifat amanah, kita harus bersama-sama menjimatkan penggunaan petroleum agar rezab petroleum negara mencukupi dalam keadaan terpaksa menghadapi krisis global yang meruncing ini.
Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Dalam keadaan yang mencabar ini, kita harus menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu.

UBAH GAYA HIDUP
Bagi anak muda yang hobinya menunggang motosikal untuk beriadah, kita harus mencuba hobi baharu agar kita semua membazirkan penggunaan minyak kepada perkara yang bukan keperluan.
Malang sekali jika masih ada di antara kita yang masih memilih untuk bersuka ria dengan berkonvoi beramai-ramai merentas negeri menaiki motosikal pada kala kita perlu menjimatkan penggunaan petroleum.
Dalam keadaan ini, kita perlu melihat semula kepada konsep Maqasid Syariah yang membahagi urusan kepada jenis maslahah iaitu Daruriyah (asasi), Hajiyah (kemudahan) dan Tahsiniyah (kesempurnaan). Pengelasan ini perlu diterapkan dalam menetapkan perbelanjaan kita.
Daruriyah ialah perkara yang wajib seperti berbelanja untuk makan minum dan saraan hidup. Tanpa makan minum, kita tidak dapat meneruskan kehidupan langsung kerana akan membawa masalah kesihatan dan sebagainya.
Hajiyah ialah bagi kemudahan atau kelancaran hidup, seperti membelanjakan wang bagi membeli minyak untuk bekerja bagi menjana pendapatan.
Dalam konteks ini, sekiranya tempat kerja berhampiran atau di kawasan mudah dicapai, kita boleh menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan perbelanjaan.
Akhir sekali ialah tahsiniyah, iaitu perkara-perkara yang langsung tidak diperlukan namun dapat membawa kesempurnaan kepada hidup. Contohnya seperti beriadah, bercuti dan sebagainya.
Dalam konteks semasa, perkara-perkara tahsiniyah perlu dielakkan atau dikurangkan untuk berjimat-cermat sebagai langkah berjaga-jaga sehinggalah keadaan dunia kembali stabil. Apatah lagi hal-hal yang melibatkan penggunaan minyak.
Subsidi yang diberi sepatutnya dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan daruriyah dan hajiyah, bukanya untuk kegiatan bukan keperluan. Benar, ia masih hak kita tetapi bukankah lebih baik jika bersama menjimatkan penggunaan minyak untuk kebaikan bersama?
Semakin banyak minyak kita gunakan, semakin cepat bekalan minyak negara berkurangan. Jangan kerana tamak akan gaya hidup sendiri kita gadaikan nasib semua. Inilah juga sebabnya kerajaan mengumumkan kerja dari rumah bermula 15 April ini.
Ketika saya melakukan latihan kerjaya tahun lalu, beberapa kali saya pulang dari kerja dengan berjalan kaki walaupun perjalanannya memakan masa sejam setengah. Walaupun tiada krisis tenaga pada ketika itu, tetapi banyak kawasan bandar di Malaysia hari ini mempunyai tahap daya jalan yang baik.
Jika kita semua boleh amalkan budaya berjalan dan menaiki pengangkutan awam, bukan sahaja kita menjimatkan duit tetapi juga bantu mengurangkan penggunaan sumber negara.
Pada ketika ini, harga barangan di negara kita masih terkawal walaupun keadaannya berbeza di sesetengah negara lain. Namun, mungkin ada yang belum sedar akan bertuahnya kita kerana sudah menjadi resam manusia melihat padang di seberang lebih hijau sehinggalah kita menyeberang ke sana.
Sudah tiba masanya kita mencari jalan untuk mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan api fosil yang diimport, agar kita tidak terlalu terkesan dengan kenaikan harga minyak dunia.
Kita juga perlu menaik taraf serta memperbanyakkan rangkaian dan kemudahan pengangkutan awam, terutamanya prasarana daya jalan kaki di sekeliling untuk menggalakkan penggunaannya.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










